Tuesday, November 9, 2010

Si sepet, si kaki botol, pegawai rasis digantung

Si sepet, si kaki botol, pegawai rasis digantung

S Pathmawathy
Nov 8, 10
11:53am

Pegawai kanan Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman telah dihukum, Dewan Rakyat dimaklumkan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz berkata penolong pengarah BTN itu telah digantung tugasnya pada 6 Oktober lalu serta diberikan surat amaran.

Nazri bagaimanapun tidak menjelaskan durasi atau tempoh penggantungan berkenaan.

Beliau menjawap soalan daripada Wee Jeck Seng (BN-Tanjong Piai) yang ingin tahu jumlah kakitangan awam yang dikenakan tindakan disipilin kerana bersikap rasis semasa menjalankan tugas mereka.

Pada perjumpaan tertutup majlis anjuran Puteri Umno pada 27 Sept lalu, Hamim dilapor merujuk masyarakat Cina sebagai si sepet mata dan masyarakat India pula sebagai si kaki botol.

Jemaah menteri kemudian mengarahkan siasatan dijalankan.

Selain Hamim, Nazri berkata kerajaan juga telah bertindak ke atas dua pengetua - di Kulaijaya, Johor dan Bukit Selambau, Kedah - kerana kesalahan yang hampir sama.

Kedua-dua pengetua SMK Tunku Abdul Rahman Putra di Johor, Siti Aishah Mansor, dan pengetua SMK Bukit Selambau (SMKBS), Sungai Petani di Kedah, Ungku Aznan Ungku Ismail juga digantung jawatan mereka. Mereka kini ditugaskan menjalankan kerja-kerja pejabat di jabatan pelajaran di negeri masing-masing.

"Kedua-dua pegawai telah digantung daripada menjalankan tugas, dan masing-masing ditempatkan di Jabatan Pelajaran Johor dan Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Muda Kedah berkuatkuasa 23 Ogos lalu," katanya.

Menurut Nazri, ketiga-tiga kes itu adalah kesalahan pertama seumpama itu yang dilaporkan kepada kerajaan.

“Namun kerajaan tetap komited dan memberi jaminan bahawa tindakan akan diambil ke atas mereka yang terbabit mengikut Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Disiplin) 1993,” katanya.

Jelasnya, siasatan ke atas pengetua berkenaan dan hukuman yang diambil itu adalah selaras dengan peruntukkan peraturan.

Menyentuh kes pengetua di Johor, katanya prosiding tatatertib telah diambil berdasarkan peraturan-peraturan pegawai awam (kelakuan dan tatatertib) 1993 dengan surat pertuduhan telah dikemukakan kepada pengetua itu untuk membuat representasi membela diri dalam tempoh 21 hari.

"Setelah pegawai mengemukakan representasi bertulis, Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan Kumpulan Pengurusan Satu akan bersidang dan memutuskan hukuman tatatertib terhadap pegawai jika didapati bersalah," katanya.

Nazri berkata kerajaan amat komited untuk membendung perbuatan itu dan memberi jaminan akan mengenakan siasatan dan mengambil tindakan kepada pegawai-pegawai terlibat berasaskan peruntukan undang-undang dan peraturan yang
berkuatkuasa.

Dalam pada itu, beliau berkata penjawat awam yang terlepas cakap atau celupar tidak boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan atau Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana tidak mempunyai niat untuk menghasut.

"Tapi dalam keadaan yang berlaku hari ini mereka tiada niat untuk menghasut, tapi mereka telah celupar bercakap sesuatu yang tidak sepatutnya mereka kata," katanya.

Menjawab soalan tambahan Wee sama ada kerajaan berhasrat mengenakan tindakan lebih tegas termasuk menggunakan Akta ISA kepada penjawat awam yang melakukan kesalahan sedemikian.

Nazri juga berkata kerajaan hanya boleh mengambil tindakan berdasarkan peraturan yang dibenarkan untuk menghukum penjawat awam.

"Ini bukan bermakna bahawa kerajaan tidak mahu ambil tindakan lebih. Cuma peraturan itu tidak membenarkan kita mengambil tindakan lebih daripada apa yang telah kita ambil," kata beliau.


[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/147567

Serbuan Sultan, Gobind diarah keluar dewan

Nov 8, 10 1:54pm

Ahli parlimen Puchong, Gobind Singh hari ini diarahkan keluar dewan oleh Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia kerana terus mengasak menuntut jawapan daripada Menteri Dalam Negeri, berhubung serbuan polis ke atas bekas Sultan Kelantan.

Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebelum itu mendakwa persoalan berkenaan tidak perlu dijawab kerana tiada dalam senarai perbahasan bajet yang dibentangkan.

Gobind bagaimanapun bertegas dan mahu Hishamuddin menjawab sama ada ada atau tidak siasatan dijalankan.

Speaker bagaimanapun berkata menteri mempunyai hak untuk tidak menjawab soalan yang dikemukakan.

Gobind bagaimanapun bertegas dan terus menyoal speaker jika di dewan yang mulia ini dia tidak dapat jawapan di mana lagi beliau harus bertanya.

Pandikar Amin, kemudian meminta Gobind keluar dan berehat.

Sebelum keluar Gobind berkata lebih baik keluar daripada terus berada di dewan ini dengan menteri tidak dapat memberikan jawapan.

"Besok saya datang dan saya akan tanya soalan yang sama untuk mendapatkan jawapan dari menteri," kata Gobind.

Kata-kata itu menyaksikan speaker yang pada mulanya hanya menyuruh Gobind supaya keluar sepanjang masa rehat dari jam 1 petang hingga 2.30 petang menukar keputusannya dan menggantung Gobind sehingga berakhir sesi hari ini.

Pada serbuan polis Mei lalu, Tengku Muhd Fakhry Petra yang ketika itu adalah Tengku Temenggung juga ditahan untuk satu malam.

Selain baginda, beberapa pengawal peribadi Sultan Kelatan ketika itu juga ditahan sejurus beberapa minit mereka meninggalkan Istana Kubang Kerian, di Kota Bharu.

Tengku Fakhry dilaporkan berada di konvoi mengiringi ayahanda dan bodanya, Tengku Anis Tengku Abdul Hamid, dalam perjalanan ke Hospital Mount Elizabeth di Singapura untuk mendapatkan rawatan susulan.

http://malaysiakini.com/news/147583

Sumbangan PKR di S'gor: Teresa Kok tak dapat jawab

Nov 8, 10 5:11pm

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan Perdagangan dan Industri Selangor Teresa Kok, hari ini tidak dapat menjawab soalan yang dibangkitkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor mengenai sumbangan kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor untuk menaik taraf kawasan perindustrian di negeri itu.

Ketika diajukan soalan itu oleh Ismail Sani (BN-Dusun Tua) mengenai perkara berkanaan, Kok berkata : "Saya tidak ada statistik."

Sebelum itu, beliau berkata Lembaga Pembangunan Perindustrian Malaysia (MIDA) pada tahun 2009 telah memperuntukkan RM28 juta bagi menaik taraf 24 kawasan perindustrian di Selangor.

Bagaimanapun, Kok berkata kawasan perindustrian di Selangor terutama di luar bandar berada dalam keadaan "sangat teruk".

Beliau berkata Kerajaan Persekutuan, yang mengutip cukai daripada pelabur, sepatutnya menyalurkan peruntukan yang lebih bagi meningkatkan prasarana perindustrian di Selangor memandangkan Selangor menyumbangkan lebih 20 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Semasa menjawab soalan Lee Ying Ha (DAP-Teratai), Kok berkata kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa pengurusan kawasan perindustrian bagi memudahkan pelabur menyuarakan sebarang masalah mengenai penyelenggaraan kawasan perindustrian di Selangor.

- Bernama


http://malaysiakini.com/news/147616

ADUN DAP cadang Inggeris jadi bahasa rasmi kedua

Nov 8, 10 5:05pm

Kerajaan Pulau Pinang hari ini diminta mempertimbangkan cadangan menjadikan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi kedua Pulau Pinang selaras dengan hasrat menjadikan negeri ini sebagai bandar antarabangsa pada masa hadapan.

Jagdeep Singh Deo (DAP-Datuk Keramat) berkata, Bahasa Inggeris penting kerana ia lingua franca (bahasa antarabangsa) yang digunakan oleh kebanyakan negara di dunia.

"Saya tidak menolak Bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara, tetapi Bahasa Inggeris juga penting dan mohon kerajaan negeri pertimbangkan cadangan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua di Pulau Pinang," katanya ketika perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2011 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Georgetown hari ini.

Selain itu, Jagdeep juga mencadangkan agar kerajaan negeri menamakan beberapa jalan di negeri ini dengan nama pemimpin veteran dari Pakatan Rakyat sebagai mengenang jasa mereka dalam politik.

"Inisiatif ini telah dilakukan oleh kerajaan negeri terdahulu iaitu menamakan beberapa jalan dengan tokoh-tokoh politik seperti Jalan Yap Chor Ee. Sebagai contoh mungkin kita boleh namakan satu jalan di Butterworth dengan nama tokoh veteran dari PR," katanya.

Sementara itu, Tsim Tze Tzin (PKR-Pantai Jerejak) (pertama dari kanan) mencadangkan kerajaan negeri menggubal satu dasar bagi menggalakkan pembinaan rumah mampu milik bagi memastikan rakyat Pulau Pinang mempunyai kediaman sendiri yang selesa.

"Masalah yang berlaku ialah jurang antara rumah mewah dan rumah kos rendah adalah terlalu ketara iaitu harga rumah mewah terlalu tinggi dan tidak mampu dibeli oleh rakyat berpendapatan rendah.

"Sedangkan rumah kos rendah keadaannya terlalu menyedihkan tetapi rakyat negeri ini tidak mepunyai pilihan, kita seharusnya lebih fokus untuk pembinaan rumah yang diperlukan oleh rakyat Pulau Pinang," katanya.

Beliau berkata setiap rumah mampu milik yang hendak dibina perlu mempunyai keluasan 1,000 kaki persegi dengan harga jualan antara RM100,000 hingga RM200,000.

Tsim turut mencadangkan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) supaya lebih fokus kepada usaha membina rumah mampu milik dengan persekitaran yang selesa.

"Saya juga berharap Suruhanjaya Perumahan yang akan ditubuhkan memantau spekulasi harga jualan rumah dan menetapkan supaya satu rumah hanya boleh dijual sekali sahaja kepada setiap keluarga, ini bagi mengelakkan spekulasi harga," katanya.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/147615

Selangor peruntuk RM1.43 bilion bajet 2011

Selangor peruntuk RM1.43 bilion bajet 2011

Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
12:33pm





12:33pm

Selangor peruntuk RM1.43 bilion bajet 2011

Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
12:33pm


Sebanyak RM1.43 bilion diperuntukkan dalam belanjawan negeri Selangor yang dibentangkan di Dewan Undang Negeri itu oleh menteri besar Tan Sri Khalid Ibrahim hari ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM830 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus mankala sebanyak RM600 juta selebihnya diperuntukkan untuk pembangunan negeri.

Jumlah ini merupakan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding jumlah RM1.3 bilion dalam belanjawan 2010 dan dinyatakan sebagai belanjawan berimbang bertemakan "Hasil Negeri Untuk Rakyat."

Di bawah perbelanjaan mengurus, sejumlah besarnya sebanyak RM333 juta (40.12 peratus) diperuntukkan untuk perkhidmatan dan bekalan, manakala RM282 juta (33.98 peratus) akan digunakan untuk bayaran emolumen.

Selebihnya; sebanyak RM208.5 juta (25.12 peratus) diperuntukkan untuk pemberian dan bayaran tetap, RM5.7 juta (0.69 peratus) untuk pembelian aset dan RM800 ribu untuk perbelanjaan lain.

Di bawah peruntukan pembangunan pula, menteri besar dan setiausaha kerajaan negeri menerima peruntukan paling besar berjumlah RM225 juta, diikuti jabatan kerja raya sebanyak lebih RM153 juta.

Jabatan agama Islam turut merupakan antara penerima peruntukan paling tinggi sebanyak RM110.6 juta, selain jabatan pengairan dan saliran sebanyak RM45 juta serta jabatan pertanian yang menerima RM15 juta.

Dalam ucapan pembentangannya pagi ini, Khalid berkata kerajaan negeri turut menjangkakan peningkatan kutipan cukai sebanyak 15.42 peratus (RM70,960,000) melalui kutipan hasil cukai bagi 2011.

Khalid juga berkata, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi negeri Selangor untuk tahun 2010 diunjurkan berada pada tahap 6.1peratus berbanding penguncupan 1.2 peratus pada tahun 2009.

Katanya lagi, KDNK Selangor disumbangkan lima sektor utama, paling utama melalui sektor perkhidmatan (60.5 peratus) dan pembuatan (32.4 peratus).

Sumbangan daripada kedua-dua sektor ini membolehkan ekonomi Selangor tumbuh lebih baik berbanding pertumbuhan yang dicatatkan oleh negara Malaysia antara 2007 hingga 2009, katanya.

Menurut Khalid, empat strategi dirangka untuk merealisasikan tema belanjawan kali ini, antaranya melalui pengurusan sumber negeri secara bijaksana dan pengurusan perbelanjaan yang cekap.

Ia turut menggariskan strategi bagi mendorong pembangunan modal insan serta memantapkan pembangunan negeri.

http://malaysiakini.com/news/147571






MB: Bajet 2011 tumpu masyarakat luar bandar

Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
4:28pm

Menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, ciri utama yang boleh diperhatikan dalam bajet 2011 ialah tumpuan untuk "merakyatkan ekonomi" bagi masyarakat luar bandar.

Tiga program utama yang dimuatkan dalam Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) pada peringkat ini ialah Skim Kredit Mikro, Skim Kesihatan Wanita dan Takaful Orang Kelainan Upaya

"Skim Kredit Mikro memperuntukkan RM50 juta kepada Yayasan Qardhul Hasan untuk menangani kemiskinan luar bandar manakala Skim Kredit Mikro Miskin Bandar (MIMBAR Selangor) diperuntukkan RM20 juta.

"Peruntukan RM70 juta ini disalurkan oleh Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) hasil dari penyelesaian hutang Syarikat Kumpulan Talam.

"Ini bukan sebahagian daripada peruntukan bajet tetapi daripada beberapa hutang yang dikutip daripada Talam Corporation. Kita telah iktiraf ini sebagai satu hutang dan diserahkan kepada MBI.

Hutang berjumlah RM392 juta itu dipindahkan kepada kerajaan negeri secara geran melalui bajet tambahan yang diluluskan DUN Selangor pada November tahun lalu.

"Sekarang hutang ini sudah dibayar dan MBI ditugaskan untuk beri peruntukan untuk skim ini," katanya lagi dalam sidang media selepas membentangkan bajet tersebut di DUN Selangor hari ini.

Dalam kenyataannya, beliau juga berkata kerajaan negeri menyediakam peruntukan agak besar berjumlah RM15.5 juta untuk pembangunan kampung, termasuk untuk penyediaan kemudahan asas di desa dan penyelenggaraan jalan kampung.

Di samping itu, kerajaan negeri juga mengekalkan bantuan pendidikan kepada rakyat Selangor melalui RM34.84 juta untuk bantuan ke sekolah agama rakyat, sekolah Cina dan Tamil.

Jumlah itu juga akan digunakan bagi program tuisyen rakyat, hadiah anak masuk universiti serta untuk menyediakan latihan kemahiran kepada remaja yang tercicir dari persekolahan.

http://malaysiakini.com/news/147608

RM145 ribu dibelanja baikpulih Royal Theatre

Salhan K Ahmad
Nov 8, 10
12:42pm

Kerajaan negeri setakat ini telah membelanjakan sebanyak RM145,000 untuk menyiapkan bangunan Royal yang terbengkalai sejak tahun 2008, kata anggota exco kebajikan dan hal ehwal wanita Rodziah Ismail.

Perbelanjaan itu secara kasarnya digunakan bagi menggaji tiga orang pegawai serta kos penyelenggaraan dan utiliti bagi projek berkenaan, katanya ketika menjawab soalan tambahan, juga daripada Ng Suee Lim (DAP – Sekinchan),

Sehubungan itu, Majlis Bandaraya Shah Alam juga masih perlu melaksanakan beberapa kerja baik pulih, seperti yang dinyatakan Jabatan Audit, sebelum bangunan itu diserahkan kepada kerajaan negeri, kata Rodziah lagi.

Jabatan Audit dalam laporannya sebelum ini mendapati, bangunan tersebut berada dalam keadaan yang tidak terjaga dengan bekalan elektrik yang ditamatkan, paip tersumbat dan keadaan premis yang tidak berpagar.

Cadangan rekabentuk projek pembinaan tersebut diluluskan oleh majlis kerajaan negeri pada September 2002 dengan peruntukan sebanyak RM43.84 juta – termasuk perbelanjaan untuk sistem peralatan dan lanskap berjumlah lebih RM7 juta, kata Rodziah.

Katanya, bangunan teater itu sepatutnya dapat digunakan menjelang awal tahun 2011 dan diletakkan di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri (JKKN).

"Bagaimanapun, JKKN tidak lagi memberikan kerjasama dengan kerajaan Selangor setelah Pakatan Rakyat mengambil alih kerajaan negeri pada 8 Mac 2008," katanya ketika menjawab satu soalan lisan di DUN hari ini.

Menjawab soalan tambahan, juga daripada Ng, Rodziah berkata kerajaan negeri merancang untuk membuat kerjasama antaranya dengan Tourism Selangor, Majlis Teater Negeri Selangor dan Istana Budaya bagi menarik pelancong ke pusat kebudayaan itu.

"Aktiviti teater seperti teater jalanan 'Menunggu Kata dari Tuhan' yang telah dipopularkan selama dua tahun ini, pastinya akan menjadi salah satu pertunjukan yang akan diadakan di pusat ini," katanya lagi.

http://malaysiakini.com/news/147574

Mengenali mati pucuk dan ejakulasi pramatang

Nov 8, 10 10:16am

Hubungan seks penting dalam mengekalkan ikatan kebahagiaan antara pasangan mahram tetapi tidak ramai yang sedar masalah seksual yang boleh menjejaskan kemampuan untuk mengadakan hubungan ini.

Seringkali masalah berkaitan dengan lelaki seperti mati pucuk (Erectile Dysfunction (ED)) ataupun Ejakulsi Pramatang (PE) boleh menjejaskan hubungan intim pasangan.

Statistik

Percaya atau tidak satu Kajian Kejadian Ejakulasi Pramatang Asia Pasifik dan Kajian Sikap (AP PEPA) menunjukkan 29 peratus daripada lelaki di Malaysia mungkin mengalami PE, satu keadaan di mana lelaki tidak dapat mengawal atau melewatkan ejakulasi semasa bersanggama.

Kajian ini merentasi lebih sepuluh buah negara di rantau Asia Pasifik membabitkan lebih 5,000 lelaki heteroseksual berusia antara 18 dan 65 tahun yang terbabit atau sekurang-kurangnya terbabit dalam hubungan seksual selama dua tahun.

Kajian yang sama juga menunjukkan 81 peratus daripada lelaki yang terbabit dalam kajian ini di Malaysia bersetuju atau sangat bersetuju bahawa melewatkan tempoh ejakulasi akan menambahbaik hubungan keseluruhan.

Selain daripada itu, 85 peratus daripada responden juga bersetuju atau sangat bersetuju bahawa dengan melewatkan tempoh ejakulasi akan menambahbaik hubungan seksual dan daripada jumlah itu 90 peratus menunjukkan minat dalam melewatkan ejakulasi.

Minta bantuan


Walaupun bilangan lelaki yang berdepan dengan masalah ini boleh dikatakan agak besar, masih ramai yang memilih untuk merahsiakan masalah ini.

Presiden Persatuan Urologi Malaysia Profesor Dr Azad Hassan Abdul Razack berkata masalah dengan kaum lelaki ialah mereka malu untuk meluahkan masalah seksual.

"Tetapi, apa yang mereka lupa ialah masalah yang lebih besar mungkin muncul jika mereka tidak menangani masalah PE mereka," katanya.

Walaupun PD tidak seserius ED yang kebanyakan orang memberi perhatian, ia tetap menyumbangkan impak negatif dalam hubungan antara pasangan.

Beliau berkata kebanyakan lelaki malu atau tidak mahu membincangkan masalah ini dengan doktor atau pasangan mereka dan tidak percaya mereka mengalami masalah itu.

"Jadi, mereka mungkin rasa ia sekadar psikologi, tidak benar, masalah minda, ataupun ia sebahagian daripada proses penuaan," katanya dengan menambah kata lelaki sebenarnya tidak tahu di mana untuk mendapatkan pertolongan dalam hal ini.

Atau mereka mungkin takut yang mereka sebenarnya mengalami ED, takdir yang
paling ditakuti kaum lelaki.

PE dan ED

Menurut Prof Azad, PE dan ED seringkali disalahanggap yang kedua-duanya saling berkaitan tetapi ini tidaklah benar.

PE sentiasa atau hampir sentiasa berlaku sebelum, atau dalam tempoh lebih kurang satu minit selepas mula bersanggama.

"PE berkaitan dengan keupayaan untuk mengawal ejakulasi setiap kali atau hampir setiap kali bersanggama, dan seorang lelaki dengan PE seringkali akan mengalami tekanan, kekecewaan, dan mungkin mengelakkan hubungan seksual," katanya.

ED di sebaliknya merupakan ketidakupayaan untuk mencapai atau mengekalkan ereksi zakar dengan secukupnya bagi aktiviti seksual.

Satu lagi perkata, PE sering berlaku kepada lelaki dalam lingkungan usia muda sementara ED lazimnya dialami lelaki yang lebih tua, selepas usia 45 tahun.

Rawatan

Presiden Kehormat Persatuan Andrologi Malaysia dan Kajian Penuaan Lelaki Datuk Professor Dr Tan Hui Meng berkata sehingga hari ini tiada penyelesaian perubatan khusus ataupun praktikal bagi PE.

"Tetapi terdapat ubat luaran yang boleh mengakibatkan reaksi buruk ataupun ubat-ubatan yang masih belum diuji dan diluluskan bagi masalah ini," katanya.

Beliau berkata anestetik luaran termasuk krim dan semburan yang boleh didapati dengan mudah sering digunakan tetapi ia mempunyai kesan buruk seperti alat sulit kedua-dua pasangan berasa kebas dan boleh juga menyebabkan ruam pada kulit.

Sebaliknya, 'antidepressant' seperti 'Selective Serotonin Reuptake Inhibitor' (SSRI) juga digunakan untuk melewatkan ejakulasi walaupun ia sebenarnya bukan untuk masalah ini.

"Lagipun, ia mungkin mengurangkan tenaga batin dan mungkin memburukkan keadaan daripada PE kepada ED," katanya.

Bagaimanapun, hari ini terdapat ubat preskripsi terulung iaitu 'Priligy' untuk merawat ejakulasi pramatang.

Selain daripada ubat-ubatan, kemungkinan kaedah rawatan lain ialah menerusi 'strategi am' yang termasuk komunikasi antara pasangan intim atau dengan doktor pakar dan juga pendidikan psikoseksual.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/147551

Banjir di Sabah, kera di hutan disusukan?

Joe Fernandez
Nov 8, 10
1:37pm

Enam kampung yang membabitkan kawasan 180 ekar sawah padi di Kota Belud, yang dianggap sebagai jelapang padi di daerah itu, mahu kerajaan persekutuan dan Sabah mengotakan janji mereka pada 16 Januari lalu untuk menghulurkan bantuan berhubung masalah banjir.

Kampung-kampung yang dilanda teruk itu adalah disenaraikan sebagai kawasan miskin tegar sejak kerajaan Usno memerintah dan tumbang pada 1976.

"Saya tak boleh dipersalahkan jika ada cakap-cakap menentang kerajaan di kampung-kampung itu kerana sudah begitu lama kerajaan belum mengotakan janji untuk memberi bantuan,” kata Jamari Seleh, 51, yang mengetuai Jawatankuasa Kecil Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Jawi-Jawi .

Bercakap bagi pihak enam kampung berkenaan, beliau menjelaskan bahawa perhimpunan aman yang dihadiri oleh kira-kira 60 pesawah di Kota Belud, minggu lalu bertujuan supaya rintihan mereka mendapat perhatian.

Selain Jawi-Jawi, kampung lain adalah Taungusi, Labuan, Wakap, Merabu and Katabungan.

Menurut Jamari, pesawah dan petani begitu kecewa kerana usaha mereka bagi mendapatkan bantuan setkat ini terus tidak dihiraukan oleh kerajaan.

Katanya, daripada tontonan TV, mereka dapati kerajaan persekutuan dan juga negeri lebih berminat dan prihatin untuk menghulurkan bantuan kepada negara lain yang terjejas akibat bencana alam dan peperangan.

Seorang lagi anggota JKKK, Razlan Saitim, 31 berkata tidak ada masalah bagi Malaysia membantu negara yang kurang bernasib baik tetapi bukan sehingga menjejaskan rakyat di negara ini.

“Jangan seperti kera di hutan disusukan, anak di pangkuan mati kelaparan. Kita mesti bantu diri kita sendiri dulu,” katanya.


[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/147580

Abd Ghafar Mahmud dilantik KP Pelajaran baru

Nov 8, 10 6:57am

Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib semalam.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat kuasa hari ini, adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran
Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.

Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008.

- Bernama

http://malaysiakini.com/news/147545

Perwakilan GERAKAN selar 'abang dalam BN'

Hazlan Zakaria
Nov 7, 10
7:13pm

Perwakilan GERAKAN hari ini menyelar tindakan kepimpinan "abang dalam BN" yang didakwanya terlalu sombong, sekali gus menyebabkan mereka hilang sokongan.

Isu itu dibangkitkan dalam perbahasan usul ucapan dasar presiden di hari terakhir persidangan parti itu ke 30 di Menara PGRM, Kuala Lumpur hari ini.

Wakil Melaka Gan Peng Lam berkata dalam BN, hanya satu parti dilihat lebih berkuasa daripada parti komponen lain.

"Dalam BN, Umno berdiri melampaui yang lain. MCA, MIC, GERAKAN, PPP hanya penonton," kata Gan.

Beliau memberi contoh bagaimana Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang juga menteri pelajaran, mengumumkan mata pelajaran sejarah wajib lulus di program Umno, ketika ia jelas hal dasar kerajaan.

"Kenapa tidak umumkan selepas sidang media selepas mesyuarat kabinet atau dalam acara lain?" soalnya.

[Baca berita penuh]

http://malaysiakini.com/news/147531

GERAKAN: Cuaca ekonomi, politik masih buruk

Nov 7, 10 2:41pm

Walaupun kerajaan memperkenalkan gagasan 1Malaysia dan beberapa pendekatan ekonomi, cuaca ekonomi dan politik sedunia masih buruk dan terumbang-ambing, kata presiden GERAKAN Tan Sri Koh Tsu Koon.

"Lautan masih bergelora, dengan bongkah-bongkah batu dan ais yang membahayakan, dalam erti kata (lain) kehidupan kita masih terbelenggu dengan pandangan yang berbeza dan ekstrimis dan bersimpang-siur yang memperlihatkan ketidaktentuan senario politik dan keresahan emosi, serta legasi-legasi lama yang masih menghantui kita," kata Koh.

Sehubungan itu, diibaratkan krew kapal yang dalam keadaan bahawa, Koh menyeru semua pihak dalam parti itu tidak saling bergadung dan menuding jari antara satu sama lain.

"Pertengkaran sedemikian sudah tentu akan membahayakan kapal itu. Sekiranya kapal itu tenggelam, kita semua akan turut lemas, tidak kira siapa yang memenangi pertelingkahan dan pergaduhan itu," kata Koh.

Menyampaikan ucapannya dalam persidangan perwakilan nasional parti itu ke-39 di Kuala Lumpur hari ini, Koh menekankan keperluan semangat keterangkuman (inklusif) - senada dengan laungan Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan agung Umno sebelum ini - dan kesederhanaan dalam gabungan BN.

"Kita harus melakukannya dengan sekadar segera disebabkan, dalam beberapa bulan kebelakangan ini, suara-suara melampau semakin meninggi dan cuba menarik perhatian ramai.

"Ini telah mengakibatkan reaksi buruk, bukan sahaja di media dan internet, tetapi juga telah mencetus rasa resah dan marah di kalangan rakyat," kata Koh yang juga menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Bercakap di harapan perwakilan GERAKAN daripada seluruh negara, Koh juga dilihat cuba menaikkan kembali semangat ahlinya yang mungkin pudar ekoran kekalahan teruk mereka dalam pilihan raya umum lalu, yang menyebabkannya hilang penguasaan di kubu kuat sendiri di Pulau Pinang.

"Pengkritik-pengkritik kita cuba memaparkan GERAKAN sebagai sebuah parti 'tak berguna' dan parti tidak mempunyai harapan. Kalau begitu, mengapakah kita terdapat tiga wakil rakyat bebas yang memilih untuk memasuki parti kita, dan bukannya memasuki parti-parti yang lain yang lebih besar, dalam tempoh masa satu setengah tahun ini?

"Kalau begitu, mengapakah seramai 20,000 orang dari semua negeri telah menjadi ahli baru, dan 5,000 orang lagi dalam proses permohonan? Bukankah kerana mereka tertarik kepada ideologi dan impian parti, track record dan prestasi parti kita?" kata Koh.

http://malaysiakini.com/news/147513

Kecuaian bank semakin serius


ADUAN pengguna yang semakin meningkat secara tidak langsung memperlihatkan tahap kecekapan bank-bank di negara ini boleh dipersoalkan. - Gambar hiasan


KUALA LUMPUR - Sejak tiga tahun lalu, Bank Negara Malaysia (BNM) mendapati jumlah pertanyaan serta aduan berkaitan isu-isu melibatkan bank dan institusi kewangan di negara ini meningkat dengan ketara.

Rekod BNM memperlihatkan jumlah aduan dan pertanyaan pada tahun 2008 berjumlah 133,439 sebelum meningkat mendadak sebanyak 90.2 peratus kepada 253,801 pada tahun 2009.

Bermula dari Januari hingga Mei tahun ini, sebanyak 117,554 pertanyaan serta aduan telah dicatatkan, meningkat berbanding 103,222 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Jabatan Komunikasi Korporat BNM, Abu Hassan Alshari Yahaya berkata, antara aduan yang diterima ialah berkaitan kesukaran mendapat pembiayaan, penstrukturan dan penjadualan pinjaman, penipuan dan pengeluaran wang tanpa kebenaran, yuran dan caj, tidak puas hati dengan tawaran dan penyelesaian serta tingkah laku ejen.

"Ramai yang datang ke BNM mahu mendapatkan laporan kredit atau merasakan mereka mahu satu pihak bebas untuk mendengar isu atau rintihan terutama mereka yang tidak berpuas hati dengan jawapan pihak bank.

"Berdasarkan data yang diperoleh daripada ibu pejabat, cawangan dan perkhidmatan Telelink BNM memang berlaku peningkatan aduan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1109&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm

Monday, November 8, 2010

Rupa-rupanya 'Mat Despatch'

Oleh Ahmad Tajol Ansar Ibrahim

KUALA LUMPUR: Golongan wanita perlu lebih berjaga-jaga berikutan terdapat individu yang menggunakan kesempatan menyamar sebagai pegawai polis sebelum menyamun mereka.

Berdasarkan rekod, sejak bulan lalu hingga kini, empat kes menggunakan modus operandi itu dilaporkan di sekitar Bangsar di sini, membabitkan empat wanita termasuk eksekutif dan pekerja butik.


Ketua Polis Brickfields, Asisten Komisioner Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata, hasil maklumat diberikan mangsa, kebiasaannya suspek akan menahan mana-mana wanita yang sedang memandu sambil menggunakan telefon bimbit.

“Selepas mengekori mangsa, suspek yang lengkap berseluar biru gelap seperti seluar anggota polis meminta mangsa berhenti sebelum mengeluarkan buku tertera logo polis dan memperkenalkan diri sebagai pegawai polis,” katanya.


Beliau berkata, mangsa yang ketakutan hanya menuruti arahan ‘pegawai’ berkenaan sebelum kesempatan itu diambil suspek merampas telefon bimbit milik mangsa.


Katanya, berdasarkan laporan itu, anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menahan seorang lelaki di Jalan Tun Razak di sini, kira-kira jam 2 petang pada 31 Oktober lalu.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, polis mendapati lelaki terbabit berusia 31 tahun itu bekerja sebagai budak penghantar surat di sebuah syarikat di ibu kota.


Berdasarkan pemeriksaan lanjut, polis mendapati nombor pendaftaran motosikal digunakan suspek adalah palsu dipercayai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Malah, motosikal yang ditunggangnya juga didapati motosikal curi yang dilaporkan hilang di Dang Wangi.


“Polis yakin dengan penahanan lelaki itu dapat menyelesaikan beberapa kes menyamar sebagai anggota polis di Brickfields,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/articles/Rupa-rupanyaMatDespatch/Article

Sunday, November 7, 2010

Tiga Pesawat TUDM Ke Solo Pada Ahad Bawa Pulang Rakyat Malaysia

Ahad November 7, 2010

KUALA LUMPUR: Tiga buah pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dijangka berlepas pagi Ahad bagi membawa keluar 664 rakyat Malaysia yang terkandas di Yogyakarta, Solo berikutan kejadian letusan Gunung Merapi.

Pegawai Perhubungan Awam TUDM Mejar Kamarulzaman Ali berkata pesawat pertama dijangka berlepas pada 10 pagi dari Pangkalan TUDM Subang dan mendarat di Lapangan Terbang Solo selepas mendapat kebenaran pihak berkuasa negara itu.

"Hasil perbincangan Majlis Keselamatan Negara, Kementerian Pertahanan, Wisma Putra dan Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak berkuasa negara itu, kita telah mendapat persetujuan bagi membawa keluar kesemua rakyat kita dalam misi dua hari itu.

"Setiap hari, kita akan adakan tiga penerbangan dengan setiap penerbangan pergi dan balik mengambil masa selama enam jam," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, malam ini.

Menurutnya kesemua 664 rakyat Malaysia itu terdiri daripada penuntut universiti dan kakitangan yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia dan penerbangan pulang pertama dijangka tiba petang Ahad.

Masalah pendaratan kerana cuaca dan kabus tebal tidak menentu di Lapangan Terbang Solo menyebabkan kesukaran membawa keluar orang awam dari kawasan berdekatan Gunung Merapi iaitu gunung berapi paling aktif di dunia itu. - BERNAMA

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2010/11/7/mstar_berita/20101106210314&sec=mstar_berita

Rita Rudaini Mahu Tuntut Nafkah Daripada Aidil

Ahad November 7, 2010

PETALING JAYA: Pelakon Rita Rudaini Mokhtar,32, berkemungkinan akan memfailkan tuntutan nafkah anak dan isteri terhadap suaminya, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Radzak,23, selepas mendakwa lelaki itu mengabaikan tanggungjawabnya sebagai ketua keluarga.

Peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md. Zain berkata, tuntutan itu mahu dibuat selepas meneliti tuduhan daripada Aidil yang menuntut Rita kembali taat kepadanya serta memohon hak penjagaan kekal anak mereka, Airit Rayyan Rizqin yang berusia setahun tiga bulan.

Kata Mohd Zaidi, perkara itu masih lagi dalam pertimbangan kerana Rita bersedia untuk berbincang dengan Aidil bagi menyelesaikan kes melibatkan rumah tangga mereka itun secara baik.

“Anak guam saya menimbangkan untuk mengemukakan tuntutan itu kepada Aidil selepas melihat tuduhan yang dikemukakan oleh Aidil melalui mahkamah sebelum ini adalah tidak berasas,” katanya.

Pada 26 Oktober lalu Aidil Zafuan yang juga ketua pasukan bola sepak Negeri Sembilan memfailkan permohonan sulh (perbincangan) di mahkamah Tinggi Syariah, Seremban, termasuk menuntut hak penjagaan anak secara kekal (hadhanah).

Rita Rudaini dan Aidil Zafuan

Aidil juga menuntut perintah isteri taat (nusyuz) terhadap Rita.

Dalam mStar online 28 Oktober lalu, Aidil menafikan membuat tuntutan berkenaan sebaliknya kunjungan dia ke mahkamah untuk menangguhkan perintah tersebut yang dibuat ketika mereka menghadapi masalah rumah tangga pada Hari Raya Aidilfitri lalu.

Notis yang dikemukakan Aidil itu tidak diterima Rita kerana ia dipercayai dialamatkan di kampung wanita itu di Utan Aji, Kangar, Perlis.

Sementara itu Rita berkata dia telah hadir ke Mahkamah Tinggi Syariah Seremban pada 2 November lalu bersama peguamnya untuk mendapatkan notis tuntutan yang dikemukakan Aidil.

Notis itu turut menuntut Rita menghadiri majlis sulh yang akan diadakan pada 16 Disember ini di mahkamah yang sama.

Kata Rita dia terkejut selepas mendapati Aidil membuat sepuluh tuntutan termasuklah memohon mendapatkan hak penjagaan kekal anak mereka serta memohon Rita kembali taat kepada suami.

Rita berpendapat jika Aidil membuat tuntutan sedemikian, ia bermakna suaminya itu sudah tidak menyayanginya lagi dan dia bersedia untuk diadili di mahkamah.

“Saya kena kuatkan semangat dan bersedia untuk dibicarakan di mahkamah selepas suami sanggup membuat tuntutan itu,” katanya yang sedang mengandung tiga bulan, anak kedua mereka.

Tindakan Aidil itu kata Rita amat memeranjatkan kerana hubungan mereka yang keruh sebelum ini sebenarnya telah kembali pulih dan dia tertanya-tanya apakah motif Aidil membuat tuntutan sedemikian.

Pasangan tersebut berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 tanpa pengetahuan keluarga lelaki yang pada mulanya tidak merestui perkahwinan itu.

http://www.mstar.com.my/hiburan/cerita.asp?file=/2010/11/7/mstar_hiburan/20101104234053&sec=mstar_hiburan

MAKAN buah pala untuk elakkan insomnia.



MAKAN buah pala untuk elakkan insomnia.


NATIONAL Science and Technology Authority dalam buku Guidebook on the Proper Use of Medical Plant menjelaskan buah pala mengandungi bahan-bahan yang bermanfaat untuk kesihatan.

Lebih menarik peranan bahan tersebut dikatakan cukup ampuh untuk mengatasi rasa mual, masalah muntah, insomnia, kekejangan dan sakit sendi.

EKSTRA: Penyelidik dari Universiti Chicago, Amerika Syarikat, Dr. Peggy Mason, memberitahu coklat mampu merangsang sistem otak yang mengawal bahagian sedar individu yang dapat mengurangkan rasa sakit. Kandungan favanols dan flavanolds yang terdapat dalam coklat juga membantu mencegah penyakit kronik seperti strok, tekanan darah tinggi serta jantung.

Hutang punca gemuk

KAJIAN oleh pakar Jerman mendapati individu yang gagal melunaskan hutang mereka dalam tempoh yang ditetapkan berisiko sehingga dua kali ganda untuk mengalami kegemukan.

Ketua penyelidik, Eva Muenster dari Universiti Mainz membuat kesimpulan itu hasil penyelidikan ke atas 949 responden.

Kesemua responden itu ialah individu yang mendapat khidmat kaunseling berhubung hutang yang mereka tanggung.

Eva kemudian membandingkan keputusan tersebut dengan individu yang bebas hutang. Hasilnya, 11 peratus responden yang mempunyai banyak hutang mengalami obesiti berbanding 25 peratus responden yang bebas hutang.

Malah, 11 peratus responden tadi akan menghadapi masalah psikologi dan akan makan dalam kuantiti yang banyak untuk mengurangkan tekanan.

EKSTRA: Kajian Leningrad Scientific Conference mendapati sarang lebah propolis kaya dengan vitamin A dan B2. Ia juga mengandungi semua vitamin (kecuali vitamin K) dan 14 jenis mineral yang diperlukan oleh tubuh. Ahli kimia Britain, Prof. Arnold Buckett pula menjelaskan sarang lebah memiliki banyak khasiat lain eperti antikulat, antibakteria dan antivirus.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1024&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_02.htm

Kenduri kahwin semakin mahal

ANGKASAWAN Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor dan Dr. Halina Mohd. Yunos melangsungkan perkahwinan mereka pada 10.10.2010. Majlis perkahwinan mesti diadakan mengikut kemampuan pasangan.


CUTI penggal persekolahan akan bermula tidak lama lagi. Lazimnya, pada musim ini ramai pasangan memilih untuk melangsungkan majlis perkahwinan.

Bagi yang memilih untuk meraikan hari bahagia di bandar, para tetamu dijamu dengan keindahan hiasan kanopi dan pelamin yang diterapkan elemen moden dan eksklusif, lebih-lebih lagi jika ia disulami dengan karangan bunga segar yang menaikkan lagi seri majlis.

Di kampung pula, semangat gotong-royong atau rewang yang masih menebal pastinya menyuntik kemeriahan pada majlis perkahwinan tersebut.

Begitupun, harga sebuah perkahwinan bermula daripada majlis pertunangan hingga ke majlis persandingan menelan belanja yang besar.

Bayangkan, untuk persiapan pertunangan sahaja anggaran peruntukan yang diperlukan sekitar RM4,000. Untuk majlis perkahwinan, tidak mustahil kosnya lebih daripada RM20,000.

Kos kenduri kahwin yang semakin tinggi sering menjadi punca banyak pasangan menangguhkan perkahwinan hingga usia lewat 30-an demi mengumpul wang.

Namun, bagi yang ingin bergelar suami isteri pada usia ideal, konsep ‘kahwin dulu, bayar kemudian’ yang ditawarkan menerusi pinjaman peribadi oleh institusi-institusi kewangan menjadi pilihan.

Menurut pendapat di beberapa laman sembang berkaitan perkahwinan, lebih 90 peratus pinjaman peribadi di negara ini digunakan untuk melangsungkan perkahwinan.

Berkongsi pendapat mengenai isu itu bersama Pengarah Urusan CT Catering, Siti Fathimah Mohd. Akhir, beliau berkata, untuk mengelak majlis perkahwinan menjadi kelam-kabut, perancangan rapi sangat diperlukan.

“Semua bakal pengantin mahukan majlis yang sempurna dan kalau boleh, mereka tidak mahu kalah dengan majlis-majlis lain yang pernah diadakan di kawasan kejiranan mereka.

“Namun, tidak salah jika bersikap bersederhana dan berbelanja mengikut kemampuan.

“Selalu juga saya berdepan dengan pelanggan yang mahukan pakej perkahwinan yang meriah tapi takut untuk mengeluarkan belanja yang besar.

“Begitupun, ramai juga yang faham dan tidak mendesak kami supaya menurunkan harga.

“Kadang-kadang saya terfikir mengapa ada orang inginkan majlis tetapi akhirnya memeningkan kepala sendiri?

“Bayangkan, sewa kanopi dan hiasan dekorasi sahaja mencecah puluhan ribu ringgit, itu tidak termasuk jamuan, pelamin dan cenderahati tetamu.

“Tidakkah itu dianggap sebagai berlebih-lebih?” ujar Siti Fathimah yang berpengalaman mengendalikan perniagaan katering sejak tahun 1994.

Tidak menolak rezeki yang datang, namun Siti Fathimah lebih suka jika perancangan teliti secara bersederhana.

“Kalau ikutkan, saya sendiri tidak sampai hati hendak meletak harga yang tinggi, tetapi jika harganya terlalu rendah, payah pula untuk kita realisasikan impian raja sehari itu,” katanya kepada Jurnal.

Rewang


PERKHIDMATAN katering dan layan diri mula menjadi budaya perkahwinan di kampung.


Beliau berpendapat pada masa ini trend menggunakan khidmat katering turut berlaku di tanah rancangan Felda dan kampung-kampung berbanding amalan gotong-royong.

“Padahal kos jamuan dan kanopi akan lebih murah jika dibuat secara gotong-royong,” jelas Siti Fathimah yang menawarkan harga serendah RM15 sekepala untuk jamuan majlis perkahwinan.

Pengasas Kampung Pengantin, Fatain Mohd. Ali pula berpendapat langkah mengadakan majlis di rumah menelan kos yang lebih tinggi berbanding di dewan.

“Jika majlis dilakukan di rumah, pastinya tuan rumah akan bercadang untuk membaiki rumah, mengecat, persiapan kamar pengantin, langsir baru dan sebagainya.

“Untuk majlis pula, pastinya kanopi lengkap perlu disewa untuk persiapan jamuan.

“Jika di dewan, banyak kos yang boleh dipotong dan digunakan untuk keperluan lain,” ujarnya.

Kampung Pengantin yang terletak di Jalan Genting-Klang, Kuala Lumpur menawarkan bukan sahaja khidmat katering malah menyediakan lokasi untuk mengadakan majlis perkahwinan.

Dengan harga serendah RM35 sekepala, impian perkahwinan dalam taman boleh direalisasikan di Kampung Pengantin.

Boleh menampung sehingga 1,500 tetamu pada satu masa, ia sekali gus menjadi alternatif baru bagi pasangan yang ingin melangsungkan perkahwinan, terutama di bandar.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

'Tongkat sakti' Jariah


JARIAH menggabungkan teknik rawatan kristal dan reiki untuk merawat pesakit.


DR. Jariah Abdullah, 64, mengubat pesakitnya dengan cara yang agak pelik iaitu menggunakan sebatang tongkat kristal.

Tongkat sepanjang 40 sentimeter itu digunakan bekas pensyarah kimia di Fakulti Sains dan Teknologi, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini untuk mengenal pasti penyakit seseorang.

Pada pandangan mata kasar, tongkat itu sekadar mengandungi plastik, batu kristal dan kayu. Ia dibeli Jariah di Itali pada harga hampir RM2,000. Bentuknya seperti kayu rotan.

Namun, uniknya tali pada tongkat itu menjadi penentu tahap kesihatan fizikal dan mental seseorang.

Jika tali itu cenderung ke kiri, ia bermakna pesakit sedang menghadapi masalah tekanan tetapi jika sebaliknya, mereka sihat.

Secara ringkas, kaedah rawatan yang amalkan Jariah ialah perubatan menggunakan kuasa minda dan tenaga dalaman.

“Memang kepakaran saya dalam bidang kimia tetapi saya turut mempelajari kaedah perubatan alternatif dikenali sebagai reiki.

“Reiki ialah satu teknik perubatan dari Jepun yang bertujuan mengurangkan tekanan dan merehatkan tubuh.

“Saya menganalisis tenaga yang terdapat dalam badan seseorang. Jika tenaga itu lemah, mereka akan mudah jatuh sakit dan tertekan, begitulah sebaliknya,” kata Jariah sambil menambah, rawatan reiki lebih berbentuk terapi.

Reiki ialah amalan kerohanian yang dimajukan oleh rakyat Jepun, Mikao Usui pada tahun 1922. Salah satu aspek amalan ini dinamakan tenohira atau penyembuhan tapak tangan.

Sentuh

Menerusi teknik ini, si pengamal percaya dirinya dapat mengalirkan tenaga penyembuhan.

Tenaga berkenaan mengalir melalui tangan pengamal sebaik sahaja beliau menyentuh pesakit.

Selain itu, rawatan reiki boleh dilakukan daripada jarak jauh menggunakan alatan sama seperti tongkat yang digunakan Jariah.

Rawatan ini melibatkan lambang khas untuk membentuk perhubungan sementara antara pengamal dan penerima, tidak kira di mana jua, lalu menyalurkan tenaga reiki begitu sahaja.

“Teknik terapi reiki sebenarnya rahsia penyembuhan alami yang inti patinya ialah kekuatan doa oleh pesakit dan pengamalnya.

“Secara luarannya, pengamal reiki seolah-olah hanya memberikan sentuhan melalui tangannya atau medium alat ke kawasan yang mahu dialirkan tenaga,” kata Jariah.




Menggabungkan perubatan melalui reiki, tongkat dan kristal - dakwa Jariah, mempunyai impak yang baik untuk seseorang.

Ujarnya , kristal itu sendiri asasnya ialah pasir dan tanah yang proses geologinya berlaku selama jutaan tahun sebelum terbentuk.

“Setiap jenis kristal mempunyai gelombang tersendiri yang baik untuk tubuh. Ia memulihkan kesihatan seseorang melalui interaksi dengan pusat tenaga di dalam badan.

“Terdapat tujuh cakra yang menjadi pusat tenaga. Sekiranya terganggu, ia akan mengakibatkan badan tidak selesa dan mudah mendapat penyakit,” katanya.

Menurut Jariah, tenaga yang terdapat dalam kristal sama seperti tenaga yang ada dalam tubuh manusia.

Beliau memberikan contoh, warna hijau (merujuk pada pusat tenaga dalam badan) pada bahagian dada lebih cenderung untuk kesihatan paru-paru dan jantung.

Kristal

“Jika pusat tenaga ini terganggu, seseorang mungkin menghadapi masalah berkaitan paru-paru dan jantung.

“Warna kelabu di bahagian leher manusia merujuk kepada kerongkong dan bahagian dalam leher.

“Warna merah pada ubun-ubun pula merujuk kepada kesihatan mata, hidung dan telinga. Manakala pusat tenaga berwarna kuning di bawah dada untuk limpa, pankreas dan buah pinggang,” katanya.

Ujarnya lagi, pusat tenaga berwarna oren pada bahagian perut untuk usus sementara merah pekat pula untuk saraf tunjang dan tulang belakang.

Jika semua tenaga dalam badan itu berada dalam keadaan baik, selain amalan pemakanan dan cara hidup yang sihat, seseorang akan hidup sihat tanpa tekanan.

“Tetapi jika sebaliknya, seseorang akan mudah tertekan dan mendapat penyakit,” katanya.

Jariah juga mengusahakan produk yang berasaskan bahan kristal seperti pencuci muka, penyegar muka, sabun mandi serta minyak wangi.

“Malah, ada produk kristal yang boleh menggantikan keberkesanan botox,” ujarnya.

Katanya lagi, penggunaan kristal untuk kosmetik dan perubatan juga dapat membantu membuang toksik, mencerahkan wajah selain meningkatkan tahap kesihatan seseorang.

“Kristal sebenarnya telah lama terbukti dari sudut kesihatan. Sebagai contoh, individu yang memakai cincin dan gelang kristal bukan sahaja bertujuan untuk hiasan bahkan merawat penyakit.

“Cuma saya menambah nilai perubatan itu dengan reiki dan hasilnya memuaskan,” katanya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=1107&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_06.htm

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...