Friday, August 8, 2008

Marlon julang Kedah

Oleh ZAINAL AZHAR MOHAMEDsukan@kosmo.com.my


HATRIK penyerang berbisa Kedah, Marlon Alex James berjaya meletakkan pasukannya dalam keadaan selesa selepas menewaskan Perak 3-0 pada
aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Darulaman, Alor Star semalam.

Meskipun kira-kira 35,000 penyokong Hijau Kuning terpaksa menunggu selama tiga puluh minit untuk meraikan detik gembira itu, namun aksi semua pemain nyata menghiburkan.
Marlon memulakan rentak cemerlang tuan rumah apabila menjaringkan dua gol pada minit ke-31 dan 32 untuk meletakkan Kedah di hadapan.
Penyerang prolifik itu menerima kedua-dua hantaran daripada Nelson Sam Martin sebelum bijak menyudahkannya selepas menewaskan barisan pertahanan Perak.
Ketua jurulatih Kedah, Mohd Azraai Khor Abdullah yang mempertaruhkan kesebelasan terbaiknya ternyata memperoleh hasil yang cukup berharga selepas serangan bertali arus dilakukan memberi tekanan kepada lawan untuk mengatur serangan ke kubu pasukannya.
Bagi meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak Liga Malaysia, Marlon sekali lagi membuktikan penyudahnya pada minit ke-40 apabila menyudahkan sepakan percuma Nelson dengan tandukan tepat ke dalam gawang gol Perak.
Di Stadium Petaling Jaya, UPB-MyTeam turut mendapat bekalan selesa apabila menewaskan Johor FC 3-1.
Di Stadium Shah Alam, Selangor gagal memanfaatkan peluang beraksi di gelanggang sendiri apabila seri tanpa jaringan dengan PDRM.
Di Stadium Sultan Mizan, Terengganu turut seri tanpa jaringan menentang Perlis.
Aksi kedua suku akhir dijadualkan berlangsung Sabtu ini.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...