Friday, August 8, 2008

Wusyu tetap cari kilauan emas

FONG WEI akan beraksi dalam acara Taijiquan dan Taijijian.

WALAUPUN wusyu hanya acara pertunjukan pada Sukan Olimpik XXIX di Beijing, namun Persekutuan Wusyu Malaysia (WFM) bertekad untuk merangkul sekurang-kurangnya satu pingat emas daripada kejohanan tersebut yang akan diadakan serentak dengan temasya sukan terbesar dunia yang bermula esok.
Pengurus pasukan Malaysia ke Beijing, Chong Kim Fatt berkata walaupun pingat itu tidak dikira dalam pungutan keseluruhan pingat Olimpik, tujuh peserta negara bersedia menunjukkan keupayaan mereka dalam pertandingan itu yang melibatkan 128 peserta daripada 43 negara yang mengambil bahagian.
"Kejohanan Wusyu Beijing 2008 menawarkan 10 pingat emas untuk disiplin Toulu dan lima dalam acara Sanshou. Malaysia mensasarkan satu emas, satu perak dan satu gangsa daripada acara itu," katanya kepada Bernama semalam.
Kejohanan Wusyu Beijing 2008 akan berlangsung pada 21 hingga 24 Ogos di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik di Beijing.
Wakil Malaysia ke Beijing ialah Ang Eng Chong (Changquan), Lee Yang (Taijiquan/Taijijian), Lim Yew Fai (Jianshu/Qiangshu), Pui Fook Chien (Nanquan/Nangun), Chai Fong Wei (Gunshu/Daoshu), Diana Bong Siong Lin (Nanquan/Nangun) dan Chai Fong Ying (Taijiquan/Taijijian).
Kim Fatt berkata empat daripada peserta iaitu Eng Chong, Lee Yang, Fong Wei dan Yew Fai kini berada di Fuchow, China sejak awal Julai bagi menjalani latihan selama sebulan sebelum berlepas ke Beijing Sabtu ini.
"Tiga lagi atlet, Fook Chien, Diana dan Fong Ying berlatih di Kompleks Sukan Bukit Jalil," katanya.
Menurutnya semua peserta acara itu dipilih daripada enam pemenang teratas acara Toulu dan lapan pemenang teratas acara Sanshou semasa Kejohanan Wusyu Dunia di Beijing, tahun lepas.
Dia menjangkakan peserta Malaysia akan menghadapi cabaran hebat daripada peserta tuan rumah China, Hong Kong, Macau, Jepun dan Itali. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...