Monday, September 22, 2008

Bahagian belum pasti pinggirkan Abdullah



Muda Mohd Noor Sep 22, 08 12:02pm

Pemimpin-pemimpin Umno tidak yakin pemilihan bahagian dengan pasti meminggirkan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam pencalonan jawatan presiden seperti diuar-uarkan dalam Majlis Tertinggi (MT) minggu lalu.

Mereka percaya suara-suara mendesak Abdullah meletakkan jawatan menjelang pemilihan bahagian awal bulan depan "terlalu awal" kerana mesyuarat belum bermula.

Abdullah memerlukan pencalonan kira-kira 60 bahagian untuk layak bertanding dan pencabar terdekatnya yang boleh dicalonkan untuk jawatan tersebut sama ada timbalannya sendiri Datuk Seri Najib Razak atau Tengku Razaleigh Hamzah.

Seorang pemimpin bahagian di Pulau Pinang malah percaya anggota-anggota MT yang menyarankan idea sedemikian Khamis lalu sebagai "orang-orang naib presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin."

Ketua Umno bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bhari Abdul Rahman berkata, cakap-cakap Abdullah tidak cukup pencalonan merupakan satu usaha untuk meminggirkan perdana menteri dari jawatan tersebut.

"Dakwaan bahawa Abdullah tidak cukup pencalonan merupakan andaian sahaja kerana mesyuarat bahagian belum bermula," katanya.

Beliau berkata, jika kepimpinan tinggi Umno saling cabar-mencabar ia akan merebak sampai ke bawah.

Katanya, jika ia berlaku, Umno akan mengulangi peristiwa 1987 yang menyaksikan perpecahan dua puak dalam parti itu sebelum ia kemudiannya diharamkan.

Timbalan Ketua Umno bahagian Semberong, Abidin Abdul Rahman berkata, Abdullah perlu mendapatkan maklumat yang jelas sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, sebagai presiden parti, Abdullah tidak boleh terpengaruh dengan dakwaan bahawa beliau tidak cukup pencalonan.

Bagaimanapun, jika sahih bahagian-bahagian tidak mahukan beliau lagi, Abdullah tiada pilihan lain kecuali berundur.

"Dalam sejarah Umno, orang lebih sayangkan parti daripada individu.

"Lihatlah apa yang berlaku kepada bekas presiden Tun Dr Mahathir Mohamad selepas meninggalkan Umno, ahli tidak mengikut jejaknya," katanya.

Manakala ketua Umno bahagian Seremban, Datuk Ishak Ismail pula berkata, Abdullah perlu melihat kehendak ahli-ahli parti terhadap kepimpinannya sekarang.

Katanya, jika ramai yang bercakap mereka tidak mahu lagi, Abdullah perlu berundur.

"Sebagai pemimpin, beliau perlu mengutamakan kepentingan parti dan bukannya kepentingan peribadi," katanya.

Ishak berkata, jika Abdullah berkeras mahu mempertahankan jawatan presiden, dan ada calon lain yang mahu bertanding, Umno akan berpecah-belah selepas perhimpunan agung kelak.

Ditanya, siapa calon yang paling sesuai menjadi presiden Umno sekarang, ketua Umno bahagian Seremban itu berkata, orang ramai mahukan Datuk Najib Razak.

"Orang kata, Abdullah sudah hilang kawalan dan kerana itu Umno perlukan nakhoda yang baru.

"Tengku Razaleigh Hamzah tidak sesuai menjadi presiden parti kerana sudah lanjut tempoh," katanya.

http://www1.malaysiakini.com/news/90154

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...