Sunday, December 21, 2008

Apa dosaku?


Oleh ZAINUDDIN ZAIN dan NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
metahad@hmetro.com.my

GEORGETOWN: “Apalah dosa saya. Kalau saya kaki perempuan atau penagih dadah, saya boleh terima hakikat ini, namun saya tidak pernah melakukan semua perkara terkutuk itu.

“Sebab itu saya buntu dan sukar percaya apabila doktor sahkan saya pembawa virus HIV,”
kata pemuda berusia 24 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Kamal.

Kamal berkata, dia disahkan doktor sebagai pembawa virus maut itu pada Julai lalu selepas menjalani ujian saringan sebagai syarat untuk melangsungkan perkahwinan.

“Seingat saya juga, saya tidak pernah menjalani pemindahan darah. Saya dimasukkan ke hospital hanya sekali iaitu ketika berusia 12 tahun. Itupun kerana patah kaki selepas terbabit kemalangan jalan raya,” katanya kepada Metro Ahad.

Sehubungan itu, kata Kamal, dia berasa dunianya cukup gelap apabila ujian mengesahkan dia pembawa virus HIV.

Menurutnya, ada ahli keluarganya mengesyaki dia mendapat virus itu daripada ibu bapanya, tetapi dia tidak mahu memikirkan kemungkinan itu kerana kedua-dua orang tuanya sudah meninggal dunia.

“Ibu saya meninggal pada 2000 kerana barah otak pada usia 40 tahun, manakala ayah pula pada 2002 kerana barah paru-paru ketika berusia 42 tahun.

“Saya tidak mahu menuding jari ke arah ibu dan ayah saya kerana mereka menjaga kami adik-beradik dengan baik. Saya tidak mahu ada prasangka buruk terhadap mereka,”
katanya.

Lagipun, kata Kamal, dia tidak pernah melihat tanda sama ada ibu atau bapanya menghidap HIV sepanjang hidup mereka.

“Yang pasti, sejak disahkan pembawa virus HIV, hidup saya sungguh tertekan, apatah lagi tiada pihak dapat memberi jawapan bagaimana saya boleh dijangkiti. Hanya Allah tahu perasaan saya sekarang,” katanya.

Menurutnya, apabila dia menceritakan masalah dialaminya kepada beberapa pihak, ada yang menuduhnya penipu dan menjauhinya, menyebabkan dia hanya memaklumkannya kepada insan yang akrab dengannya.

“Setakat ini, selain saudara yang rapat, hanya seorang rakan tahu saya positif dijangkiti HIV dan mereka memberi semangat untuk saya melawan penyakit ini,” katanya.

Namun, kata Kamal, penerimaan daripada tunang serta keluarganya sungguh menyedihkan dan mereka seolah-olah menjatuhkan hukuman ke atasnya sebaik saja dia disahkan pembawa HIV.

“Bayangkan saya menjalani ujian saringan HIV bersama bakal isteri kerana kami sepatutnya mendirikan rumah tangga pada Ogos lalu, tetapi kini semuanya hancur berkecai.

“Orang yang saya cintai dan impikan untuk hidup semati dan membina keluarga bersama bukan saja tidak faham, sebaliknya terus meninggalkan saya, termasuk tidak lagi menjawab panggilan telefon.

“Tarikh 15 Julai 2008 akan saya terus kenang seumur hidup kerana wanita yang sepatutnya menjadi isteri saya memandang saya dengan renungan menjijikkan,”
katanya.

Kamal berkata, dia mengenali bakal isterinya yang juga berusia 24 tahun secara tidak sengaja apabila tersilap mendail nombor telefon.

“Sejak itu kami sering berbalas SMS. Secara kebetulan, rumahnya terletak bersebelahan kampung saya di Kelantan. Sehubungan itu, setiap kali pulang ke kampung, saya pasti akan menziarahinya.

“Selepas berkawan kira-kira tiga tahun, kami bertunang Februari lalu dengan menetapkan perkahwinan enam bulan kemudian (Ogos lalu).

“Kini, keluarganya menghalang saya berjumpanya. Saya juga diberitahu, tunang saya ‘dilarikan’ ke Terengganu supaya saya tidak berusaha mencarinya,”
katanya.

Mengenai kehidupannya sekarang, Kamal yang juga anak sulung tiga beradik berkata, dia hidup berseorangan kerana bekerja di Pulau Pinang manakala dua adiknya kini tinggal di Kelantan.

“Saya terpaksa berlakon dengan bersikap biasa di tempat kerja kerana tidak mahu orang lain tahu keadaan diri saya kerana bimbangkan penerimaan mereka.

“Saya bekerja keras setiap hari kerana hanya dengan bekerja dapat menghilangkan kesedihan dan keresahan di dalam diri saya,”
katanya.

Kamal berkata, ketika di rumah pula, dia banyak menghabiskan masa dengan bersembahyang dan mengaji al-Quran.

“Saya mengamalkan beberapa surah selain banyak berzikir kerana yakin ini ujian Allah dan di sebalik orang berkata HIV tidak dapat diubati, saya yakin tidak ada penyakit yang tiada penawar di dunia ini.

“Saya mengamalkan perubatan homeopati dan membayar sehingga RM1,500 sebulan untuk kos ubat,”
katanya.

Apabila ditanya kenapa dia tidak mendapat rawatan di hospital kerajaan kerana ubatnya percuma, Kamal berkata, dia dimaklumkan harapan untuk sembuh dengan perubatan homeopati adalah lebih tinggi.

“Saya sekadar mencuba. Semuanya ketentuan Allah. Setakat ini saya menjalani tiga ujian saringan, masing-masing dua di Kelantan dan sekali di Pulau Pinang, dan ia masih positif menunjukkan saya pembawa virus HIV,” katanya.

Ditanya perkara yang ingin diluahkan jika berpeluang berjumpa atau bercakap dengan tunangnya, Kamal berkata:

“Saya hanya berharap dia menerima saya sebagai rakan kerana sedar dengan kejadian ini, tiada wanita mahu menjadikan saya suami mereka, walaupun angan-angan saya memang untuk berkeluarga dan mempunyai anak.

“Saya juga akan meminta tunang tidak menyisihkan saya kerana kami pernah ada perasaan kasih dan sayang dulu. Apa yang berlaku bukan kehendak saya.

“Biar satu dunia tidak percayakan saya, tetapi saya yakin Allah SWT tahu perkara sebenar dan saya akan terus bersabar dengan ujian yang cukup besar ini.”

http://www.hmetro.com.my/Sunday/BeritaUtama/20081220231652/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...