Sunday, December 21, 2008

Bunuh kerana panik

Oleh OMAR OSMAN
am@hmetro.com.my


SUNGAI PETANI: Seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang panik dan ketakutan selepas melahirkan anak luar nikah dipercayai bertindak kejam dengan menghentak bayi yang baru dilahirkan sehingga mati sebelum mencampaknya ke luar rumah.

Sebelum kejadian di Kampung Bujang, Merbok itu, kira-kira 5 petang kelmarin, remaja itu dikatakan berkurung lama di dalam bilik tanpa disedari oleh keluarganya bahawa dia dalam proses melahirkan anak.

Bagaimanapun, tembelangnya akhirnya terbongkar apabila bapanya yang meninjau kawasan di belakang rumah mereka menemui satu mayat bayi perempuan dalam keadaan masih bertali pusat.

Menurut sumber, bapa remaja yang mengesyaki ia hasil perbuatan anaknya kemudian menyoal remaja terbabit.


Katanya, remaja perempuan itu kemudian dikatakan mengakui perbuatan, menyebabkan keluarganya membawa dia dan bayi yang dilahirkan itu ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan segera.

“Bagaimanapun, doktor yang mengendalikan kes itu di HSAH mengesahkan bayi yang dilahirkan cukup bulan itu sudah meninggal dunia.

“Siasatan seterusnya mendapati bayi terbabit mati akibat dihentak dengan objek keras sebelum dibuang di belakang rumah.

“Remaja terbabit kini ditahan di hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,”
katanya.

Difahamkan, ketika disoal siasat, remaja berkenaan mengaku dia bertindak demikian kerana lupa diri akibat terlalu bimbang dengan tindakan bapanya jika mengetahui dia melahirkan anak luar nikah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisiner Hashim Ali, yang mengesahkan kejadian itu berkata, remaja perempuan terbabit dirawat di HSAH selepas dibawa oleh bapanya selepas mengetahui perbuatannya.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan iaitu menyembunyikan kelahiran dengan jalan membuang mayat secara sulit, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum dua tahun penjara atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Sunday/Setempat/20081220235333/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...