Friday, December 19, 2008

Hakim: Kasut dibaling terhadap Bush telah dimusnah


Jumaat Disember 19, 2008

Ejen keselamatan Iraq, AS musnah bukti penting bimbang bahan letupan


URUTAN gambar Bush dibaling kasut oleh Muntazer semasa sidang media Ahad lalu sempena lawatan terakhir sebelum meninggalkan White House bulan depan.

BAGHDAD Kasut yang dibaling ke arah Presiden Amerika Syarikat (AS), George W. Bush awal minggu ini oleh seorang wartawan Iraq, yang sepatutnya dijadikan sebagai saksi penting, telah pun dimusnahkan bagi memastikan ia tidak mengandungi bahan letupan.


Ia dimusnahkan oleh ejen-ejen keselamatan pemimpin itu kerana bimbang ada bahan-bahan letupan.


"Kasut-kasut itu telah diperiksa oleh perkhidmatan keselamatan Iraq dan Amerika dan ia kemudian dimusnahkan," kata hakim Dhiya al-Kenani yang mengendalikan kes itu kepada AFP.


Muntazer al-Zaidi

Wartawan terbabit, Muntazer al-Zaidi, 29, masih berada dalam tahanan di Baghdad sejak membaling kasut ke arah Bush semasa sidang media Ahad lalu sempena lawatan terakhir sebelum meninggalkan White House bulan depan.


Bagaimanapun menurut hakim berkenaan, perjalanan kes tersebut tidak akan terjejas walaupun kasut berkenaan telah dimusnahkan.


"Saya memang inginkan kasut itu dikemukakan sebagai bukti bagi kes ini tetapi oleh kerana Muntazer telah mengaku membaling (kasut), siasatan boleh diteruskan," katanya.


Dhiya berkata, Muntazer juga mengakui yang dia memahami kesan dan akibat tindakannya itu.


Menurut abang Muntazer, wartawan tersebut telah dimasukkan ke hospital selepas dipukul oleh pengawai-pegawai keselamatan.


Tiada maklumat lanjut mengenai keadaannya.


Bagaimanapun hakim tersebut berkata kesihatan beliau adalah baik buat masa sekarang.


Dalam pada itu, satu laporan AFP menyebut, wartawan berkenaan telah menulis surat kepada Perdana Menteri Iraq, Nuri al-Maliki untuk memohon maaf dengan kejadian tersebut.


"Dalam suratnya, dia meminta diampunkan oleh Perdana Menteri," kata pegawai akhbar kepada Perdana Menteri, Yassin Majid.


Surat memohon maaf itu ditulis dengan tangan oleh wartawan berkenaan, katanya.


Bagaimanapun Yassin tidak menyatakan kandungan penuh surat tersebut.


Hakim yang menyiasat kes itu juga enggan mengeluarkan perintah jaminan kepada wartawan stesen televisyen Al-Baghdadia itu demi keselamatan dirinya.


Dalam suratnya, Yassin berkata, wartawan berkenaan mendakwa pernah menemu bual Nuri pada 2005 dan perdana menteri itu ada memberitahunya "sila datang semula bila-bila masa, anda dialu-alukan."

http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/19/mstar_berita/20081219095615&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...