Friday, December 19, 2008

Harga minyak masak turun

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Harga minyak masak boleh diturunkan sekiranya harga niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) berada di bawah paras RM1,500 satu tan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Shahrir Samad berkata, kemungkinan harga minyak masak turun tinggi jika keadaan itu berlaku.

Menurutnya, kebanyakan pengguna tidak menyedari bahawa harga minyak masak tidak pernah meningkat kerana subsidi yang diberikan kerajaan.

Malah, katanya, kerajaan membelanjakan RM1 bilion setahun bagi peruntukan subsidi minyak masak di pasaran tempatan.

“Boleh dikatakan harga minyak masak tempatan tidak turun kerana ia tidak pernah naik seperti disangka pengguna.

“Tapi apabila harga berkenaan berada di paras yang menyebabkan kerajaan tidak perlu lagi memberikan subsidi barulah boleh dilaksanakan,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan Anugerah Kedai Harga Patut 2008/09 di sini, semalam.

Sejumlah 373 daripada 1,668 penyertaan premis perniagaan seluruh negara menerima Anugerah Kedai Harga Patut 2008/09 yang diadakan selama sebulan sejak Jun lalu.

Anugerah ini dilaksanakan untuk mengenal pasti, menilai dan mengiktiraf premis perniagaan yang menjual produk tarikan pelancong pada harga berpatutan bertepatan dengan kualiti barang serta perkhidmatan ditawarkan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20081219090955/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...