Rabu Disember 3, 2008
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia masih kukuh dan kesan yang diterima dari krisis kewangan dunia adalah minima, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Kong Cho Ha.
"Malaysia tidak terdedah kepada krisis kewangan secara langsung dan menerima kesan secara tidak langsung dan minimum dari krisis gadaian subprima tersebut disebabkan kekuatan domestik ekonomi," katanya semasa sesi soaljawab di Dewan Negara di sini hari ini.
Beliau berkata jumlah tabungan negara masih berada pada paras yang kukuh iaitu 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang mencerminkan negara mempunyai lebihan mudah tunai yang boleh digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi.
Negara juga mempunyai sistem perbankan yang stabil dengan tahap hutang tak berbayar yang rendah iaitu 2.4 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko sebanyak 12.6 peratus, jauh melebihi paras 8.0 peratus menurut piawaian antarabangsa, katanya.
Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia juga berada dalam keadaan kukuh berjumlah RM343.8 bilion setakat 14 November dan pencapaian lebihan dagangan yang besar sebanyak 51.6 peratus bagi tempoh Januari-September, menunjukkan ekonomi negara di tahap yang baik.
Bagaimana pun, Kong berkata Malaysia sebagai sebuah negara yang mengamalkan ekonomi terbuka, tidak terkecuali dari merasai tempias keadaan ekonomi global yang tidak menentu yang mana eksport bersih barangan dan perkhidmatan bagi suku ketiga tahun ini didapati merosot 14.8 peratus berbanding 20 peratus pada suku kedua.
Sementara itu, beliau berkata kerajaan yang selama ini banyak bergantung kepada pendapatan Petronas, tidak bimbang dengan penurunan harga minyak dunia yang sedikit sebanyak menjejaskan keuntungan Petronas.
"Bila harga minyak turun memang keuntungan Petronas juga akan turun, tetapi langkah Petronas melabur di 37 buah negara dapat memastikan keuntungannya berterusan dan ia juga pada jangka masa panjang akan membantu pendapatan negara," katanya.
Kong berkata kerajaan tidak akan semata-mata bergantung kepada pendapatan minyak dan sedang merancang untuk mempelbagaikan sumber pendapatan negara melalui sektor seperti perkhidmatan dan pertanian.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Senator Maijol Mahap yang bertanyakan bagaimana kerajaan menangani pertumbuhan ekonomi negara kerana harga minyak dunia yang terus menurun akan menjejaskan pendapatan negara.
Kong berkata kedudukan bank-bank perdagangan juga masih kukuh berikutan langkah positif yang telah diambil selama ini dan pengalaman negara dari krisis ekonomi 1997/98.
"Bank-bank komersil kita masih lagi boleh memberi pinjaman atas nama dari bank-bank di Amerika Syarikat dan Eropah kerana bank di negara kita masih mempunyai duit dan keuntungan masih meningkat serta pinjaman tak berbayar juga masih rendah," katanya.
"Peminjam yang mempunyai masalah dengan bank juga boleh berunding di mana penstrukturan pinjaman boleh dibuat kepada mereka yang kredit kad tidak boleh bayar atau pun pinjaman perumahan boleh dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun dan sebagainya," katanya lagi semasa menjawab soalan tambahan Senator Datuk Osman Bungsu yang ingin mengetahui sama ada bank-bank tempatan dapat melonggarkan syarat-syarat pinjaman. BERNAMA
http://www1.mstar.com.my/cerita.asp?file=/2008/12/3/mstar_berita/20081203172609&sec=mstar_berita
No comments:
Post a Comment