Saturday, December 13, 2008

Tambang dulu, baru gaji


Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR – Macam mana hendak naik gaji kalau tambang tak naik.
Itu reaksi sinikal Presiden Persatuan Pengusaha-Pengusaha Bas SeMalaysia (PMBOA) Datuk Ashfar Ali berhubung usaha mengkaji gaji pemandu kenderaan berat termasuk bas oleh Kementerian Sumber Manusia.

“Kami sendiri boleh naikkan gaji pemandu bas tanpa menunggu arahan kerajaan. Tetapi untuk merealisasikan perkara ini, kerajaan perlu menunaikan permintaan kami (naik tambang) sebelum ini.

“Kita boleh timbang saranan naik gaji tetapi jika kerajaan menetapkan gaji pemandu tetapi syarikat bas ekspres tiada wang untuk bayar... bagaimana?,” soalnya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam yang mencadangkan gaji pemandu kenderaan berat termasuk bas disemak semula dalam usaha mengelak mereka mengalami keletihan akibat bekerja terlalu lama atau lebih masa.

Katanya, tindakan Kementerian Sumber Manusia untuk menetapkan gaji menerusi cadangan penubuhan Majlis Penetapan Gaji sukar dilaksanakan kerana industri pengangkutan seharusnya bergerak bebas di pasaran terbuka.

Faktor itu turut dikaitkan dengan kejadian terbaru melibatkan kemalangan bas ekspres apabila 10 penumpang termasuk lima wanita maut manakala 19 lain cedera apabila bas yang dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 146, Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Tangkak, Johor kelmarin.

Ashfar menambah, kerajaan perlu mengkaji dahulu mengenai tuntutan berhubung kenaikan tambang 100 peratus yang diminta sebelum ini.

Ini kerana, katanya, banyak syarikat bas ekspres sedang menanggung kerugian dan hanya melalui peningkatan tambang itu, syarikat pengusaha bas ekspres akan meningkatkan kadar gaji pemandunya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/arkib.asp?y=2008&dt=1209&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...