Saturday, December 13, 2008

Terpikat pada keikhlasan

Oleh JAGATHESWARY NARAYANAN
n.jagatheswary@kosmo.com.my


Apa istimewanya sang jejaka yang membuatkan gadis-gadis muda Malaysia begitu tergila-gilakan mereka sehingga sanggup melarikan diri ke kepulauan asing itu?



PULANG dengan penyesalan, begitulah yang berlaku kepada Rinnie anak Aseng dari Bintulu, Sarawak yang lari mengikut kekasihnya, Basri ke Lombok, Indonesia pada awal Disember tahun lalu.
--------------------------------------------------------------------------------

BEBERAPA detik yang lalu, tidak putus-putus kisah cinta larangan gadis Malaysia dan jejaka Lombok memenuhi ruang dada-dada akhbar tempatan. Pelbagai andaian dan persepsi dibuat, antaranya kerana ilmu mistik seperti dipukau dan terkena ilmu pengasih. Jika mengikut logik akal, mana mungkin seorang gadis sanggup mengikut lelaki yang tidak punya apa-apa pada pandangan zahirnya.

Cuba kita berfikir sejenak, adakah teruna Lombok itu kaya, kacak, komunikasi hebat, kewangannya stabil, berkereta mewah atau keperibadiannya menawan?

Pasti jawapannya tidak. Tetapi mengapa gadis-gadis sunti yang sesetengahnya kelihatan ayu sanggup mengikut jejaka Lombok?

Kosmo! cuba menyelami kisah sebenar seorang gadis tempatan yang mengasihi jejaka Lombok. Beliau yang mahu dikenali sebagai Aty kini bahagia membilang hari bagi membina mahligai perkahwinan dengan seorang jejaka Lombok. Menariknya, Aty mendapat restu keluarga untuk mengharung alam rumah tangga dengan jejaka asing ini. Bekerja sebagai seorang pembantu operasi di salah sebuah syarikat pengangkutan kontena di Pasir Gudang, Johor, Aty ketika membuka bicara, bersungguh-sungguh meluahkan kejujuran dan keikhlasannya menerima kekasihnya yang mahu dikenali sebagai Nasar.

“Saya tak malu bercinta dengan jejaka Lombok walaupun mendapat pelbagai tohmahan dan cemuhan daripada saudara mara dan masyarakat setempat.

“Saya bahagia kerana bakal mendirikan rumah tangga dengan jejaka pilihan dengan restu ibu bapa. Pada mulanya, mereka marah tetapi akhirnya ibu bapa saya dapat menerima Nasar,” kata gadis yang berusia 21 tahun itu kepada Kosmo! ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau mula berkenalan dengan jejaka Lombok itu, kira-kira dua tahun yang lalu dan akan mengadakan majlis perkahwinan pada 10 Januari 2009.

Nasar pula bekerja sebagai pembantu kedai di sebuah pasar borong di Pasir Gudang.

Pada awal perkenalan, mereka hanya menjalin persahabatan biasa tetapi lama-kelamaan Aty mula tertarik dengan budi bahasa Nasar yang jujur yang mana dia sanggup berkongsi segala masalah keluarga termasuk hal peribadi dengan ikhlas.

“Nasar tidak pernah berbohong atau berselindung apa-apa daripada saya, malah dia sentiasa menjadikan saya sebagai tempat mengadu jika berhadapan masalah besar.

“Dia juga bersikap jujur dengan berkongsi kisah hidupnya bersama isteri pertama yang mana jodoh mereka berakhir dengan perceraian. Jika Nasar ingin menipu saya, tidak mungkin dia mahu bercerita mengenai isteri pertama yang kini tinggal di Lombok,” ujar Aty yang sanggup menghubungi Jabatan Agama di Indonesia untuk mengesahkan perihal perceraian Nasar.

Aty akhirnya memperoleh pengesahan yang menyatakan bahawa Nasar telah bercerai dengan isteri pertamanya mengikut prosedur undang-undang Islam di sana. Selepas menerima pengesahan itu, hubungan Aty dan Nasar menjadi lebih kukuh.

Apabila ibu bapa mengetahui hubungan cintanya dengan jejaka Lombok, ayah Aty berasa gusar dan merayu agar Aty memutuskan hubungan tersebut. Ini kerana ayahnya tidak tahan menerima tohmahan daripada saudara -mara yang menghina pilihan Aty.

“Ada juga saudara-mara memboikot dan mengutuk saya di khalayak ramai. Ini kerana mereka sukar menerima pilihan hati saya. Oleh kerana berkecil hati, saya jarang berkunjung ke rumah saudara-mara atau menghadiri sebarang majlis bersama mereka.

“Sungguhpun begitu, saya tetap teguh dengan pendirian dan keputusan untuk meneruskan hubungan dengan Nasar dan mahu mendirikan rumah tangga dengan restu ibu bapa,” jelasnya.

Aty mengakui, satu ketika dia berasa agak tertekan dan pernah mengajak Nasar supaya lari dari Malaysia dan mendirikan rumah tangga di Lombok tetapi doa dan kasih sayang ibu bapa telah menghalangnya berbuat demikian.


--------------------------------------------------------------------------------

Bagi mengatasi kemelut ini, mereka berusaha mencari jalan penyelesaian dengan mendapatkan khidmat nasihat daripada rakan yang pernah berhadapan dengan situasi yang serupa.

Selain itu, Aty juga berusaha mengumpul maklumat daripada pihak imigresen mengenai perkahwinan rakyat tempatan dengan warga asing.

“Apabila ayah melihat keikhlasan ini, hatinya mula menerima keputusan saya. Beliau memberi keizinan kepada saya untuk berkahwin dengan Nazar pada pagi Hari Raya Aidilfitri yang lalu.

“Itulah Aidilfitri yang paling bahagia dan indah seumur hidup saya,” kata anak ketiga daripada tujuh adik-beradik ini.

Namun Aty mengakui bahawa dia masih berasa takut apabila mengenangkan masa depan hidupnya bersama Nasar yang tentunya sukar memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia.

Apapun berlaku, Aty berkata, selepas berkahwin kelak, dia tidak akan membenarkan Nasar kembali ke Lombok dan akan membantu Nasar memperoleh pekerjaan sesuai untuk menjamin masa depan yang lebih baik bagi mereka sekeluarga.

Menjawab pertanyaan kenapa semakin banyak gadis tempatan jatuh cinta dengan jejaka Lombok dan apa istimewanya mereka, Aty menjelaskan bahawa faktor pertama ialah keikhlasan mereka menerima gadis tempatan sebagai teman hidup dan isteri walaupun gadis itu hanya bekerja kilang.

Bagaimanapun, Aty menasihati gadis-gadis tempatan yang ingin mendirikan rumah tangga dengan warga asing agar tidak melarikan diri, sebaliknya berusaha mencari jalan penyelesaian mengikut prosedur undang-undang.

“Ini penting untuk jaminan kehidupan mereka dan anak-anak yang bakal dilahirkan,” jelasnya.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2008&dt=1212&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_02.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...