Friday, January 23, 2009

Ahli MT disiasat 8 jam


Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad, Zaitie Satibi, Nor Azura Abdul Jalil dan Shamsul Kamal Amarudin
am@hmetro.comm.my


KUANTAN: Seorang ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno dan bekas setiausaha politik menteri, disoal siasat selama lapan jam di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Temerloh, semalam, berkaitan satu kes rasuah politik.

Sumber SPRM memberitahu, pemimpin berusia 40-an itu, tiba di pejabat SPRM seorang diri dengan menaiki kereta Mercedes dan mula disoal siasat kira-kira jam 9.30 pagi.

Menurut sumber itu, pemimpin berkenaan yang juga calon untuk ahli MT pada Perhimpunan Agung Umno, Mac ini memberi kerjasama baik sepanjang sesi soal siasat berkenaan.

Difahamkan, beliau keluar dari pejabat SPRM kira-kira jam 5.30 petang dan usaha mendapatkan komennya gagal kerana beliau enggan mengulas ketika dihubungi menerusi telefon bimbitnya.

Sementara itu, Pengarah SPRM negeri, Sutinah Sutan, ketika dihubungi mengesahkan pihaknya memanggil pemimpin berkenaan untuk membantu siasatan kes berkenaan, namun enggan mengulas lanjut kerana bimbang mengganggu siasatan.

Beliau turut mengesahkan setakat ini, SPRM negeri sudah memanggil lebih 35 individu termasuk ahli Umno Temerloh dan Maran untuk memberi keterangan berhubung dakwaan politik wang.

“Bukan semua saksi ditahan itu ahli Umno, malah mereka yang bukan ahli juga dipanggil memberi keterangan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau juga enggan menamakan individu yang akan didakwa kerana terbabit dengan kegiatan itu.

Akhbar semalam melaporkan SPRM menahan 12 ahli Umno, termasuk seorang wanita berhubung kegiatan politik wang dalam beberapa siri serbuan di sekitar Maran dan Temerloh.

Ahli jawatankuasa Umno bahagian berusia antara 30 hingga 50 tahun itu, dipercayai perwakilan bahagian yang akan menghadiri Perhimpunan Agung Umno, Mac ini, dikatakan diberi wang antara RM300 hingga RM500 seorang.

Pembahagian wang itu dikatakan atas arahan seorang Ketua Umno bahagian berusia sekitar 40-an yang akan bertanding sebagai ahli MT.

Sementara itu, di ibu negara, seorang guru kanan sekolah rendah di Raub, Pahang, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam, atas dua tuduhan memberi rasuah berjumlah RM400 ketika pemilihan Umno Bahagian Raub, tahun lalu.

Tertuduh, Junaidi Abdul Hamid, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Kosbiahanin Arifin.

Dia didakwa secara rasuah memberi suapan wang tunai kepada dua anggota Umno, Noranizah Abd Hamid dan Adnan Samad masing-masing RM200 sebagai dorongan untuk mengundi Datuk Mustafar Kamal Abdul Hamid sebagai ketua Umno Bahagian Raub dan Datuk Abdullah Bakar sebagai Timbalan Ketua Umno bahagian Raub.

Junaidi dituduh melakukan kedua-dua perbuatan itu di Coffee House, Tingkat 1, Hotel Grand Season, Kuala Lumpur, kira-kira jam 8 malam, 13 September 2008.

Di Perak, Naib Ketua Umno Bahagian Beruas, Azman Noh, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh, atas tuduhan memberi rasuah RM300 kepada seorang perwakilan supaya mengundinya dan dua pemimpin lain bagi tiga jawatan tertinggi bahagian berkenaan Oktober lalu.

Azman, 42, yang juga seorang kontraktor, dituduh memberi suapan kepada Davad @ Daud Parman, sebagai dorongan supaya mengundi tertuduh bagi jawatan Naib Ketua, Abd Manaf Hashim bagi jawatan Ketua Bahagian dan Azhar Ahmad bagi jawatan Timbalan Ketua pada mesyuarat pemilihan Umno Beruas pada 12 Oktober lalu.

Tertuduh yang memakai sut lengkap ketika prosiding semalam, didakwa melakukan perbuatan itu di rumah beralamat 10A, Kampung Sungai Ramai, Ayer Tawar, dalam daerah Manjung, kira-kira jam 12 malam pada 11 Oktober lalu.

Di Melaka, Ketua Umno cawangan Panchor, Alor Gajah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi rasuah wang tunai RM200 kepada seorang perwakilan sebagai dorongan untuk mengundi calon Ketua Umno bahagian Alor Gajah pada mesyuarat pemilihan bahagian itu, November lalu.

Tertuduh, Johari Ibrahim, 45, seorang kontraktor dari KM 22.5 Kampung Panchor, Durian Tunggal, Melaka membuat pengakuan itu apabila kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di depan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan, Johari didakwa memberi rasuah RM200 kepada Nadiah Roslan kira-kira jam 12 tengah hari pada 1 November 2008 sebagai dorongan supaya mengundi calon Ketua Umno bahagian Alor Gajah, Datuk Abdul Kadir Daud.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 10 (b)(aa) Akta Pencegahan Rasuah 1997 di mana boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta sama.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun, denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mana lebih tinggi.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123092717/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...