Friday, January 23, 2009

Jangan malu buat laporan


KUALA LUMPUR: Wanita bekerjaya yang menjadi mangsa seks rakus ‘Datuk' kasanova berstatus jutawan tidak perlu malu sebaliknya perlu segera tampil memberikan kerjasama kepada polis bagi memastikan lelaki terbabit ditahan segera.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Bakri Zinin, berkata sukar bagi pihak berkuasa menjalankan siasatan jika tidak ada laporan atau aduan rasmi dibuat di balai polis.

Beliau berkata, mereka yang menjadi mangsa lelaki terbabit tidak perlu bimbang atau gentar kerana setiap maklumat yang diperoleh adalah sulit.

“Jika mangsa (wanita bekerjaya) mendapati diri mereka terperdaya, mereka tidak perlu tunggu lama sebaliknya segera memberikan maklumat kepada polis bagi membolehkan tindakan susulan.

“Angka (mangsa Datuk kasanova) yang dilaporkan besar, tetapi lebih penting perlu ada seseorang yang tampil membuat aduan,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas laporan muka depan Harian Metro semalam berkaitan penangan ‘Datuk’ berstatus jutawan menjerat wanita berjawatan tinggi bukan saja menyebabkan mangsa nekad melakukan pengguguran haram, malah ada suami mangsa cuba membunuh diri selepas tidak dapat menerima hakikat isteri tersayang dinodai lelaki lain.

Datuk kasanova berusia 40-an terbabit memiliki citarasa pelik iaitu hanya memerangkap wanita sudah berkahwin dan memiliki kedudukan dalam syarikat terutama bertaraf antarabangsa bagi mendapatkan habuan seks tanpa mengira bangsa.

Dia licik memerangkap mangsa dengan menawarkan pelbagai hadiah bernilai tinggi selain percutian di beberapa pulau peranginan terkenal di luar negara.

Kisah tidak bermaruah Datuk yang sudah berumahtangga dan mempunyai anak itu didedahkan Presiden Persatuan Pengguna Sumbang dan Shah Alam (CASSA), Datuk Dr Jacob George.

Beliau berkata, lebih 60 wanita bekerjaya dan memiliki kedudukan dalam syarikat korporat menjadi mangsa lelaki yang menggunakan nama samaran, Datuk Azlan.

Ketika ditanya mengenai sikap mangsa yang malu untuk membuat aduan polis, Bakri berkata, mereka yang menjadi mangsa termasuk dirogol atau dicabul memang malu untuk membuat laporan.

Bagaimanapun, katanya, perasaan itu perlu diketepikan bagi membolehkan suspek yang didakwa mangsa ditahan secepat mungkin.

“Kami tidak boleh sekadar memberikan kenyataan tanpa memberikan fakta tepat kepada polis kerana ia hanya akan menyukarkan tindakan yang hendak dilakukan.

“Lebih penting, mangsa yang berasa diri mereka diperdaya lelaki terbabit tampil membuat laporan,”
katanya.

Tanpa menafikan kewujudan kewujudan golongan terbabit dalam masyarakat, Bakri meminta wanita bekerjaya yang sudah berkahwin tidak menjalinkan hubungan dengan lelaki lain kerana ia boleh memberikan kesan buruk, bukan saja kepada keluarga, malah masyarakat.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090123094727/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...