Saturday, January 17, 2009

‘Projek’ dalam tandas


Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my



TAMPIN: Sepasang kekasih muda yang cuba melampiaskan nafsu dengan melakukan hubungan seks terlarang terkandas apabila tandas yang dijadikan ‘bilik istimewa’ diserbu pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 4.15 petang itu, pasangan dipercayai pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah, di sini, ditemui dalam keadaan amat mengaibkan apabila ‘telanjang bulat’ di tandas berkenaan.

Lebih mengejutkan pasangan itu apabila pasukan yang datang menyerbu itu turut disertai bapa saudara kepada gadis terbabit.

Sumber berkata, bapa saudara pelajar itu yang mengetahui kehadiran pasangan terbabit di situ melakukan intipan selama beberapa minit selepas mengesyaki berlaku perbuatan tidak bermoral.

Menurutnya, selepas mendapati terdapat kelibat pasangan remaja itu di dalam tandas maka dia kemudian bertindak menghubungi polis dan jabatan agama untuk memaklumkan perkara berkenaan.

“Selepas pintu dibuka, lelaki terbabit terkejut apabila mendapati remaja perempuan yang ditahan adalah anak saudaranya yang ketika itu berada dalam keadaan berbogel dan tergamam tanpa sempat melarikan diri,” katanya kepada Harian Metro, di sini, semalam.

Beliau berkata, remaja terbabit dipercayai mengambil kesempatan menggunakan tandas awam di kawasan itu berikutan lokasinya yang agak sunyi untuk melakukan perbuatan terbabit.

Menurutnya, pelajar perempuan itu dipercayai pergi ke kawasan berkenaan dengan membonceng motosikal milik teman lelakinya yang belum dapat dipastikan sama ada menuntut di sekolah sama atau sebaliknya.

“Kedua-dua remaja berkenaan kemudian dibawa ke balai polis untuk diambil keterangan sebelum diserahkan kepada jabatan agama untuk tindakan susulan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa dan penjaga supaya mengambil tahu pergerakan anak jagaan mereka bagi memastikan tidak terjebak dalam kegiatan tidak bermoral.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Zull Aznam Haron ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan berkenaan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092420/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...