Saturday, January 17, 2009

‘Sirul hantar dia ke hotel’


Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my




SHAH ALAM: Anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri mendakwa kali terakhir dia melihat Altantuya Shaariibuu ialah ketika wanita Mongolia itu menaiki kereta yang dipandu Koperal Sirul Azhar Umar untuk dihantar pulang ke hotel penginapannya.

Azilah berkata, pada malam kejadian 19 Oktober 2006, dia mengakui berjumpa dengan ‘perempuan Cina’ di hadapan rumah penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dan ada menasihati wanita itu supaya tidak membuat ‘kacau’.

“Saya nasihati dia supaya tidak menganggu Abdul Razak atau membuat kacau di hadapan rumah. Saya beritahu dia jika ada masalah, lebih baik berjumpa di pejabat. Tidak elok kacau di rumah kerana Abdul Razak ada keluarga.

“Wanita itu mendengar nasihat saya dan minta dihantar balik ke penginapannya di Hotel Malaya. Saya minta pertolongan Sirul Azhar menghantar wanita itu pulang ke hotel,” katanya ketika menjawab soalan peguam bela, Datuk Hazman Ahmad.






Azilah berkata demikian ketika prosiding bela diri di hadapan Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yassin di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.




Azilah dan Sirul Azhar didakwa membunuh Altantuya di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735 Mukim Bukit Raja, Selangor antara jam 10 malam, 19 Oktober hingga 1 pagi 20 Oktober 2006.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Pada 31 Oktober 2007, penganalisis politik, Abdul Razak Baginda yang dituduh bersubahat dengan kedua-dua tertuduh membunuh Altantuya, dilepas dan dibebaskan mahkamah daripada tuduhan tanpa perlu dipanggil membela diri.

Sepanjang prosiding membela diri semalam, Azilah tidak menyebut nama Altantuya sebaliknya menggunakan gelaran ‘perempuan Cina’.

Terdahulu, Azilah memberitahu mahkamah pada 17 Oktober 2006, dia yang ketika itu bertugas mengiringi Timbalan Perdana Menteri di Pekan, Pahang, diminta Deputi Superintendan (DSP) Musa Mohd Safri untuk menghubungi Abdul Razak.

“Dia (Musa) datang menemui saya dan bertanya sama ada mengenali mana-mana anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Brickfields. Saya maklumkan yang saya mengenali DSP Idris Abdul Karim yang ketika itu menjadi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Brickfields.

“Musa maklumkan rakannya, Abdul Razak mengalami masalah diugut seseorang, oleh itu dia minta saya berjumpa Abdul Razak untuk mengetahui lebih lanjut berhubung masalah itu kerana dia sendiri tidak mengetahuinya,” katanya.

Katanya, selepas menghubungi dan bertemu Abdul Razak, dia dimaklumkan bahawa Altantuya dan seorang lelaki Cina mengugut dan meminta wang daripadanya tetapi dia tidak mahu menurutinya.

“Saya diminta mendengar satu pesanan suara yang ditinggalkan dalam telefon bimbitnya yang berbunyi ‘Saya mahu kasi pecah you punya muka’ (Saya mahu pecahkan muka awak) dalam pelat bahasa Cina dan pesanan suara seorang wanita.

“Saya cadangkan supaya dia melaporkan kepada polis tetapi Abdul Razak enggan, sebaliknya dia mahu saya menasihati lelaki dan wanita itu serta membuat rondaan di keliling rumahnya,”katanya.

Azilah juga memberitahu mahkamah pada malam itu, dia berjumpa Rohaniza sebanyak dua kali untuk berbuka puasa, mengemas barang tugasan serta menghantarnya ke Putrajaya dan tunangnya, Noor Azila Baharuddin untuk membincangkan hal perkahwinan mereka.

“Saya berbuka puasa dengan Rohaniza di Petaling Jaya dan selepas itu dia mengikuti saya pergi ke rumah Abdul Razak. Selepas itu kami kembali semula ke Bukit Aman dan Rohaniza pergi berjumpa rakannya di Petaling Jaya.

“Kira-kira jam 10.30 malam, saya berjumpa Noor Azila yang menunggu dalam kereta di tempat letak kereta berdekatan UTK kerana dia mahu saya menandatangani borang pernikahan. Kemudian kami pergi makan di Wangsa Maju dan berada di situ 45 minit sebelum pulang semula ke Bukit Aman,” katanya.

Kemudian, katanya Noor Azila pulang dan dia ke pejabat semula dan mengambil barang tugasan kerana Rohaniza sedang menunggunya dalam kereta untuk membawanya ke rumah transit UTK di Putrajaya.

Azilah memberitahu mahkamah lagi, pada malam kejadian, dia bersama Rohaniza pergi ke pejabat UTK di Bukit Aman selepas berbuka puasa kerana mahu mengemas barang untuk tugasan mengiringi Timbalan Perdana Menteri pada keesokan harinya iaitu 20 Oktober 2006.

“Ketika berkemas saya menerima panggilan Abdul Razak mengatakan wanita yang didakwa mengugut dan meminta wang itu berada di hadapan rumahnya bersama seorang lelaki India bernama Bala (P Balasubramaniam).

“Abdul Razak minta saya datang ke rumahnya dan menasihati wanita itu supaya jangan buat kecoh di hadapan rumahnya. Saya menghubungi Sirul Azhar dan dia mengatakan akan pergi sekali ke rumah itu,” katanya.

Menurutnya, dengan kereta milik Rohaniza, mereka berdua (Sirul dan Rohaniza) pergi ke kawasan kediaman Abdul Razak.

“Sampai di sana, saya hubungi Abdul Razak dan dia maklumkan wanita itu individu sama yang mengugut minta wang daripadanya. Abdul Razak minta saya nasihati wanita itu supaya tidak berbuat kecoh di situ,” katanya yang menjawab soalan peguam Datuk Hazman Ahmad.

HAZMAN: Selepas itu apa yang berlaku?

AZILAH: Saya hubungi Sirul Azhar dan dia maklumkan dalam perjalanan. Selepas beberapa minit saya nampak Sirul Azhar berjalan ke arah saya. Saya minta Rohaniza duduk di kerusi bahagian belakang kereta. Saya mahu berjalan ke arah Bala dan wanita itu tetapi dalam masa sama mereka berdua juga berjalan ke arah saya. Wanita itu terus masuk duduk di sebelah Rohaniza. Kemudian saya masuk dan duduk di bahagian pemandu dan Sirul Azhar duduk di sebelah saya.

HAZMAN: Kenapa wanita itu masuk ke dalam kereta? Dia terima arahan siapa?

AZILAH: Dia terus masuk ke dalam kereta, tiada siapa yang memberi arahan. Kami terus beredar untuk pergi ke Bukit Aman. Sampai di persimpangan, Sirul Azhar minta saya berhentikan kereta kerana dia meletakkan kereta pacuan empat rodanya berdekatan kawasan itu. Saya mengekori kereta Sirul Azhar untuk ke Bukit Aman. Dalam perjalanan, saya menasihati wanita itu supaya tidak berbuat kecoh di hadapan rumah Abdul Razak dan minta dia pergi ke pejabat Abdul Razak. Wanita itu dengar apa yang saya kata dan minta dihantar pulang ke Hotel Malaya.

Tidak lama selepas itu, Sirul Azhar memberhentikan kenderaannya berdekatan Mes Pegawai. Saya maklumkan kepada Sirul Azhar wanita itu mahu pulang ke hotel. Saya juga beritahu Rohaniza tetapi Rohaniza berkata dia perlu berjumpa rakan di Petaling Jaya. Saya maklumkan kepada Sirul saya tidak sempat menghantar wanita itu ke hotel, oleh itu saya minta dia menghantarnya. Selepas itu, wanita itu keluar dari kereta kami dan menaiki kereta Sirul Azhar dan beredar.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Friday/Setempat/20090116092128/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...