Thursday, April 30, 2009

Penjenayah junior tertinggal beg sekolah

KUALA LUMPUR: Usia mereka baru mencecah 13 tahun dan menuntut dalam tingkatan satu, namun dua pelajar lelaki sudah berani berjinak-jinak sebagai penjenayah geng samun tepi jalan dengan kerap menjadikan wanita sebagai mangsa.

Lebih mengejutkan penjenayah junior berkenaan memakai pakaian seragam sekolah ketika melakukan jenayah itu. 

Namun, identiti suspek terbongkar selepas beg sekolah seorang daripada suspek tercicir ketika cuba melarikan diri sejurus menyamun seorang mangsa kelmarin.

Sumber polis berkata, penjenayah terbabit sebelum itu memukul seorang wanita dan melarikan beg wanita itu dalam kejadian samun di Desa Setapak, dekat sini, kelmarin. 

Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, mangsa berusia 27 tahun berada di kawasan letak kereta sebuah Tabika sebelum dihampiri dua remaja berkenaan. 

Mangsa yang terkejut melawan suspek dan berlaku pergelutan. 

Kejadian itu disedari orang awam yang berada di kawasan berhampiran dan kemudian mengejar kedua-dua suspek. 

“Suspek sempat meloloskan diri, namun beg sekolah seorang daripadanya tercicir di tempat kejadian,” katanya. 

Sejurus kejadian itu, mangsa yang bekerja sebagai kakitangan syarikat teknologi maklumat membuat laporan sebelum polis memberkas suspek yang berusia 13 tahun itu.

“Usaha kini dilakukan bagi mengesan seorang lagi rakannya,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...