Thursday, April 30, 2009

Sah bebas selesema babi

Oleh Kamarulzaman Pid
amar@hmetro.com.my


PUTRAJAYA: Malaysia disahkan bebas daripada wabak Swine Influenza atau selesema babi, justeru, rakyat dinasihat tidak perlu bimbang mengenainya.


Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Ismail Merican, berkata bagi memastikan keadaan itu berkekalan, Bahagian Kawalan Penyakit dibuka kelmarin bagi memantau situasi wabak itu di samping mengadakan saringan tanda jangkitan selesema babi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang serta di semua pintu masuk utama negara ini. 

“Daripada pemerhatian terhadap kes yang mempunyai tanda atau gejala ‘influenza-like illness’, tiada peningkatan kes dan kes berkelompok dilaporkan setakat ini. 

“Kementerian juga akan mengadakan satu mesyuarat bersepadu bersama beberapa agensi berkaitan esok (hari ini) bagi membincangkan langkah yang boleh diambil untuk mencegah dan mengawal penyebaran wabak itu. 

“Kementerian akan membuat kenyataan akhbar dari semasa ke semasa untuk memaklumkan kepada orang ramai perkembangan wabak itu serta langkah kawalan dan pencegahan yang diambil,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Dr Ismail berkata, laporan terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menunjukkan terdapat 40 kes berkaitan wabak Swine Influenza A (H1N1) yang disahkan melalui ujian makmal dikesan di Amerika Syarikat.

“Sebanyak 1,840 kes yang disyaki H1N1 turut dilapor di Mexico yang mengakibatkan 104 kematian. 

Enam kes turut dikesan di Kanada, dua di Scotland serta satu di Sepanyol, manakala 25 kes dilapor di New Zealand,”
katanya.

Beliau berkata, berikutan situasi terkini wabak itu, WHO meningkatkan amaran Influenza Pandemik daripada Fasa 3 ke Fasa 4.

Ini menunjukkan terdapat kemungkinan berlakunya pandemik.

Fasa 4 bermaksud berlaku penularan antara manusia ke manusia dan boleh menyebabkan wabak di kalangan komuniti, tetapi setakat ini, WHO tidak mengenakan sebarang sekatan dari segi kesihatan, perjalanan dan perdagangan yang perlu dilakukan oleh setiap negara bagi perlindungan kesihatan antarabangsa.

“Peningkatan fasa ini tidak bermakna pandemik tidak boleh dibendung, tetapi ia boleh menurun dan meningkat ke fasa lebih tinggi bergantung kepada situasi dan maklumat terkini wabak itu,”
katanya.

Berikutan itu, orang ramai dinasihat supaya tidak melakukan lawatan antarabangsa, terutama ke negara yang dilanda wabak itu.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Wednesday/Setempat/20090429062045/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...