Friday, May 22, 2009

Bukan Influenza A

Oleh Muhd Izawan Baharin dan Mohd Firdaus Ibrahim
am@hmetro.com.my


SERDANG: “Saya dimaklumkan doktor anak perempuan saya mempunyai tanda-tanda awal menghidap penyakit Influenza A (H1N1).

Seluruh hidungnya bernanah dan dia akan ditahan selama seminggu,” kata Rosyah Yusof, 45, ibu kepada Siti Nadlia Mohd Nazir, 18, seorang daripada tiga pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem Setia Ikhlas, Semenyih, dekat sini, yang dikuarantin di Hospital Serdang (HS), sejak semalam.

Difahamkan, tindakan kuarantin itu dilakukan berikutan 30 pelatih terbabit disyaki menghidap penyakit influenza selepas mengalami demam panas, namun pihak kementerian menafikan mereka dijangkiti penyakit H1N1.

“Saya berharap dia tidak dijangkiti penyakit itu dan segera sembuh,” katanya ketika ditemui di HS, semalam.

Tinjauan Harian Metro di hospital itu mendapati dua pelatih wanita dan seorang lelaki ditahan di bilik khas untuk proses kuarantin.

Manakala 27 lagi pelatih yang dikuarantin di bilik isolasi Kem Setia Ikhlas hanya demam biasa dan dijangka dibenarkan keluar dalam masa terdekat.

Sementara itu, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) menasihatkan ibu bapa semua pelatih yang dikenal pasti mempunyai simptom influenza, tetapi tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1) tidak panik dan sentiasa mendapatkan maklumat lanjut mengenai simptom itu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Abdul Hadi Awang Kechil, berkata semua pelatih terbabit diberi rawatan dan pengawasan ketat oleh Kementerian Kesihatan dan Hospital Serdang.

“Doktor sedang menunggu keputusan ujian darah yang dijangka keluar selewat-lewatnya esok (bagi pesakit yang sedang dirawat).

“Dua pembantu perubatan sudah dihantar ke kem itu bagi mengawasi keadaan pelatih lain,”
katanya.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, dalam kenyataannya semalam, berkata semua pelatih terbabit disyaki mengalami simptom influenza, namun dipercayai tiada kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Mereka mengalami gejala demam, batuk ringan, sakit tekak dan sakit badan sejak 14 Mei lalu sebelum diberikan rawatan susulan.

“Seramai 26 pelatih kini dirawat di bilik isolasi kem itu, manakala tiga lagi dirawat di Hospital Serdang dan seorang daripada mereka ditahan di wad Unit Rawatan Rapi (ICU),”
katanya.

Dr Ismail berkata, pihaknya akan membuat pengawasan dan kawalan bagi menangani situasi itu termasuk melakukan pengawalan vektor untuk memastikan virus berkenaan tidak menular.

“Antara tindakan diambil ialah semburan kabus, kajian aedes, pemantauan, pemeriksaan harian semua pelatih, merawat serta merujuk kes yang berisiko ke hospital berhampiran,” katanya.

Sementara itu, seorang pegawai Jabatan Kesihatan berkata, pihaknya sudah melakukan siasatan bagi mengenal pasti punca dan jenis influenza berkenaan.

Beliau turut memberi jaminan influenza itu tidak mempunyai kaitan dengan Influenza A (H1N1).

“Kami baru menerima kes itu pagi ini (semalam). Sampel sudah dihantar untuk pemeriksaan dan kami mungkin memerlukan beberapa hari untuk menentukan puncanya,” kata pegawai itu yang enggan namanya disiarkan ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pelatih yang dimasukkan ke wad ICU itu disyaki menghidap demam denggi.

“Ia mungkin influenza bermusim yang biasa atau denggi, kami masih menunggu keputusan ujian kerana kedua-duanya boleh berlaku serentak,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Thursday/Setempat/20090521061519/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...