Thursday, June 4, 2009

Air France terima ugutan bom


Sekumpulan wartawan merakam pesawat peninjau Breguet Atlantique 2 memulakan operasi kelmarin.


PARIS - Satu panggilan misteri berhubung ancaman bom ke atas sebuah penerbangan milik Air France diterima pihak pengurusan sebuah lapangan terbang Argentina beberapa hari sebelum ia hilang ketika dalam penerbangan dari Brazil ke Paris Isnin lepas, lapor sebuah akhbar semalam.

Ancaman bom yang diterima pada 27 Mei lepas memaksa pihak berkuasa lapangan Buenos Aires, Argentina menangguhkan penerbangan pesawat jenis Airbus 330-200 itu untuk tujuan pemeriksaan.

Bagaimanapun, mereka membenarkan pesawat berkenaan berlepas selepas gagal menemui sebarang bahan letupan.

Empat hari kemudian, pesawat malang itu hilang dari skrin radar. Semua 216 penumpang dan 12 krew pesawat tersebut dikhuatiri terbunuh.

Kerajaan Perancis tidak menolak kemungkinan nahas udara menimpa penerbangan AF447 itu akibat perbuatan pengganas namun setakat ini masih belum ada kumpulan mengaku bertanggungjawab.

Sementara itu, kapal-kapal tentera laut Perancis dan Brazil berkejar ke lokasi kejadian untuk mengambil beberapa serpihan pesawat berkenaan di Lautan Atlantik semalam.


Gambar dari udara kepulauan Fernando de Noronha yang menjadi tumpuan operasi mencari bangkai pesawat AF447 Air France di Brazil semalam.


Di Rio de Janiero, Menteri Pertahanan Brazil, Nelson Jobim mengesahkan serpihan berkenaan berasal daripada pesawat tersebut.

Bagaimanapun, para penyiasat memberi amaran kemungkinan untuk mengetahui sepenuhnya punca nahas udara yang disifatkan terburuk dalam sejarah Perancis itu adalah tipis.

Beberapa minit sebelum terhempas, juruterbang pesawat malang itu memaklumkan gangguan angin kencang diikuti dengan isyarat automatik melaporkan pesawat mengalami litar pintas.

Beberapa serpihan termasuk kepingan logam dan kerusi penumpang berjaya ditemui sebuah pesawat tentera lebih 24 jam kemudian.

Ia berada kira-kira 1,200 kilometer ke timur laut bandar pesisir pantai Barzil, Recife manakala tentera laut Brazil sudah menggerakkan empat buah kapal dilengkapi peralatan mencari kotak hitamdan membawa naik ke lokasi berkenaan.

Perancis pula bersiap sedia menghantar sebuah kapal selam kawalan jauh yang mampu menyelam pada kedalaman 6,000 meter bagi mencari kotak hitam pesawat seterusnya mencari jawapan berhubung misteri kehilangannya. - Agensi

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_04.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...