Thursday, June 4, 2009

Obama jangan berkhutbah!


BARACK OBAMA menerima hadiah daripada Raja Abdullah di Riyadh, Arab Saudi semalam.


KAHERAH - Akhbar-akhbar dunia Arab semalam memberi amaran kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama supaya tidak berkhutbah kepada umat Islam ketika lawatan beliau ke Asia Barat.

Pada masa yang sama, pemimpin nombor dua kumpulan Al-Qaeda, Ayman Al-Zawahiri menyelar mesej damai Obama sebagai dusta dan menyifatkannya sebagai mesej berdarah.

Obama berada di Arab Saudi semalam sebelum menuju ke Kaherah untuk menyampaikan ucapan yang dinanti-nantikan kepada 1.5 bilion umat Islam selepas lapan tahun hubungan dingin dunia Islam dan AS di bawah pimpinan bekas Presiden George W. Bush.

"Jangan berat sebelah dan memihak Israel, jangan campur tangan dalam urusan dalaman dan jangan berkhutbah tentang demokrasi," kata seorang pengarang akhbar Mesir, Al-Rose al-Youssef.

"Dalam pasukan Obama, terdapat mereka yang menasihati beliau supaya menganggap orang Islam sebagai rakan," kata seorang lagi pengarang, Ossama Saraya dalam kolum akhbar Al-Ahram.

"Bagaimanapun, terdapat juga mereka yang meminta beliau supaya membuat tuntutan dan menekan dunia Islam dengan berselindung di sebalik memperjuangkan demokrasi dan hak asasi manusia," tambahnya.

Sementara itu, Ayman menggesa rakyat Mesir supaya memboikot Obama.

"Mesej berdarah Obama diterima umat Islam tetapi mereka tidak akan terpedaya dengan sebarang kempen propaganda atau lawatan bermuka-muka atau kata-kata ilmiah beliau," katanya menerusi rakaman audio di Internet.

Ayman menyifatkan Obama sebagai seorang penjenayah yang cuba mengabui mata umat Islam dengan cuba berbaik-baik dengan mereka.

Menurutnya, Obama cuba menggunakan taktik diplomasi bagi mencapai matlamat AS di Asia Barat selepas misi ketenteraan AS menemui kegagalan di Iraq, Somalia dan Afghanistan. - AFP

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0604&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...