Wednesday, August 26, 2009

Kartika tetap tunggu hukuman sebat, tidak mahu kemuka rayuan


SUNGAI SIPUT: Kartika Sari Dewi Shukarno tetap dengan keputusannya tidak mahu mengemukakan rayuan dan nekad menunggu pelaksanaan hukuman sebat kerana meminum arak dijalankan terhadap dirinya menjelang Aidilfitri ini.

Kartika Sari Dewi, 32, berkata beliau akan menunggu keputusan secara hitam putih daripada Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) berhubung kedudukannya berikutan penangguhan hukuman itu bagi menghormati bulan Ramadan.

"Mereka (JAIP) kata selepas Ramadan, takkan saya mengatasi tindakan mereka. Biar JAIP mengeluarkan dan membuat keputusan hitam putih. Saya tetap macam ini, dengan keputusan saya dan tunggu keputusan JAIP. Ini keputusan saya. Saya beri masa kepada JAIP (untuk melaksanakan hukuman sebat), selepas Ramadan ini kita lihat macam mana," katanya ibu kepada dua anak kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Kartika Sari Dewi dan anggota keluarganya bertemu dengan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria di pejabat Mufti hari ini bagi mendapat nasihat dan pandangan berhubung kes dan kejadian yang berlaku.

Beliau berkata Harussani menasihatinya supaya bertenang dan bersabar menunggu penyelesaian terbaik berhubung kes berkenaan. "Mufti kemudian menelefon Ketua Hakim Syariah di Perak supaya menghubungi (Ketua Hakim Syariah) Pahang untuk berbincang bagaimana menyelesaikan masalah saya ini.

"...saya dapat luahkan kepada Mufti, dan memang saya menangis di hadapannya apabila beliau bertanya kenapa saya tidak mahu merayu (sebelum dijatuhkan hukuman)... beliau memang memahami saya...saya jelaskan semua kepada Mufti," katanya.

Mengenai nasihat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengemukakan rayuan, Kartika Sari Dewi berkata beliau amat menghormati pandangan itu.

"Saya menghormati pandangan Datuk Seri Najib atas keprihatinan beliau tetapi saya tetap dan nekad dengan keputusan saya (menjalani hukuman sebat)," katanya.

http://mstar.com.my/berita/cerita.asp?file=/2009/8/25/mstar_berita/20090825221624&sec=mstar_berita

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...