Thursday, August 20, 2009

Tiada korban baru

Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: “Tiada korban baru,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican, berhubung perkembangan penularan wabak Influenza A (H1N1) di negara ini.

Katanya, ini bermakna kes kematian setakat ini kekal 67 orang.

Dr Mohd Ismail berkata, 257 orang disahkan positif H1N1 dan daripada jumlah itu, 36 dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), manakala 21 kes lagi mempunyai faktor risiko antaranya diabetes, sakit kronik, lelah, kegemukan, kanak-kanak istimewa, bayi, wanita hamil dan bersalin.

“Pesakit perlu lebih peka serta memberi kerjasama dengan baik bagi mengawal penularan wabak ini. Mereka mempunyai simptom H1N1 sepatutnya tidak mengunjungi kawasan awam antaranya pusat beli-belah dan jangan naiki kenderaan awam.

“Walaupun ringan, virus berkenaan masih boleh disebar kepada orang lain apabila mereka batuk atau bersin,” katanya dalam kenyataan akhbar, semalam.

Semalam, Harian Metro melaporkan peningkatan angka korban virus Influenza A (H1N1) di negara ini kepada 67 orang apabila tiga lagi mangsa dilaporkan meninggal dunia.

Tiga mangsa terbaru itu membabitkan warga emas berumur 71 tahun, wanita berusia (33 tahun) dan kanak-kanak perempuan (10 tahun).

Dr Mohd Ismail meminta mereka mempunyai simptom penyakit itu supaya lebih bertanggungjawab dengan tidak mengunjungi tempat awam seperti pusat beli-belah dan mengelak menaiki kenderaan awam.

“Mereka mempunyai simptom influenza walaupun ringan, masih boleh disebar kepada orang lain apabila mereka batuk atau bersin. Oleh itu, sesiapa yang ada simptom ini mesti berada di rumah, jangan mengunjungi tempat awam, tempat kerja atau sekolah sehingga tidak bersimptom lagi,” katanya.

Orang ramai dinasihatkan sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan langkah pencegahan.

http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Section/index_html?mysec=Setempat

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...