Friday, September 18, 2009

Hidup mewah tipu bayar saman

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Jenayah yang dilakukan cukup ringkas, namun pulangan diperoleh mampu membuatkan empat lelaki hidup mewah dengan memiliki kereta selain melancong ke luar negara hasil kegiatan mencuri nombor rahsia kad kredit orang ramai.

Suspek yang berusia 19 hingga 23 tahun terbabit turut dipercayai mengutip hampir ratusan ribu ringgit selepas menawarkan perkhidmatan ‘palsu’ kononnya mampu membayar saman trafik, cukai jalan, insurans dan lesen memandu pada harga paling murah.


Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed, berkata kegiatan kumpulan terbabit dibongkar selepas suspek dikesan melantik beberapa ejen yang diarahkan mencari pelanggan yang berminat mendapatkan perkhidmatan mereka.

Menurutnya, mereka dikesan menipu orang ramai kononnya mampu menyelesaikan saman trafik dengan harga diskaun.

“Suspek juga menawarkan perkhidmatan membaharui cukai jalan, insurans kenderaan dan pembelian tiket kapal terbang dengan harga murah jauh lebih rendah.

“Kebanyakan mangsa yang berminat tawaran itu membuat pembayaran pada ejen sindiket terbabit yang berpura-pura menggunakan wang itu untuk menjelaskan saman atau cukai jalan,” katanya.

Arjunaidi berkata, suspek bagaimanapun tidak memaklumkan pembayaran terbabit dilakukan melalui penyedia perkhidmatan kerajaan elektronik Malaysia, MY EG Services Bhd (MYEG) yang mula diperkenalkan awal tahun ini.

“Siasatan mendapati suspek menggunakan nombor kad kredit orang ramai yang dicuri untuk dimasukkan ke dalam laman web MYEG ketika membuat pembayaran.

“Bagaimanapun, pihak MYEG yang menerima pembayaran terbabit mendapati pembayaran secara elektronik itu tidak sah sebelum membuat laporan polis berhubung penipuan licik itu,”
katanya.

Menurutnya, sehingga kini, pihaknya menerima enam laporan polis dari pihak MYEG dengan setiap satu laporan berkenaan membabitkan penipuan pembayaran antara 70 hingga 100 saman trafik.

Beliau berkata, polis mendapati kegiatan terbabit didalangi seorang pekerja juruwang sebuah pusat beli-belah yang mencuri maklumat dari kad kredit milik pelanggan.

“Suspek dikesan menjadikan warga asing menggunakan kad kredit jenis lama yang memiliki mikrocip sebagai sasaran. Ini kerana maklumat dari kad kredit jenis lama lebih mudah dipalsukan berbanding kad kredit yang menggunakan jalur magnetik.

“Suspek bekerjasama dengan tiga rakannya untuk membuat pembayaran palsu menggunakan nombor kad kredit bank asing yang dicuri itu,”
katanya.

Menurutnya, kegiatan terbabit membolehkan kumpulan itu hidup mewah hingga mampu membeli kereta bernilai ratusan ribu ringgit selain melancong.

“Semua mereka ditahan minggu lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis sehingga siasatan lanjut selesai. Mereka semua akan didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...