Friday, April 23, 2010

Beg bawa maut

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hadzlihady Hassan
am@hmetro.com.my
2010/04/23

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar perempuan tingkatan empat maut dalam keadaan tragis apabila tubuhnya digilis sebelum diseret sebuah bas yang dinaikinya ketika dalam perjalanan pulang dari sekolah, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, Nurul Huda Rosalan, 16, terjatuh dan diseret ketika turun dari bas selepas beg sekolah yang digalasnya tersangkut pada pemegang pintu automatik kenderaan berkenaan.


Pemandu bas terbabit tidak menyedari apa yang berlaku apabila memecut bas berkenaan dengan menyangka mangsa sudah turun dari tangga bas.


Difahamkan, ketika itu mangsa yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Perempuan Methodist Kuala Lumpur bersama seorang lagi rakannya dalam perjalanan pulang menaiki bas berkenaan.


Namun, sejurus sampai di hentian bas berhampiran Pangsapuri Putra Ria, Bangsar, mangsa turun berseorangan dan ketika itu dia tidak menyedari beg digalasnya tersangkut di pintu automatik bas.


Dia diseret bas terbabit sebelum kejadian itu dilihat seorang awam yang kemudian meminta pemandu bas terbabit memberhentikan kenderaan itu.


Ketika itu, mangsa masih bernyawa namun kecederaannya terlalu parah dengan kakinya yang bengkok terlipat dan menghadap muka.


Mangsa dihantar orang awam ke Pusat Perubatan Pantai, Bangsar untuk mendapatkan rawatan sebelum disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk bedah siasat.


Bapa mangsa, Rosalan Abdul, 49, berkata dia hanya mengetahui berhubung kemalangan ngeri yang menimpa anaknya itu selepas dimaklumkan isterinya, Nor Azwa Mohd Nor, 43, yang menangis teresak-esak kira-kira jam 4.30 petang semalam.

“Saya ketika itu tidur akibat keletihan kerana bertugas pada waktu malam terperanjat sebelum bergegas menuju hospital bagi memastikan keadaan anak saya.


“Namun, saya terkejut apabila dimaklumkan anak saya sudah meninggal dunia akibat kemalangan terbabit,”
katanya ketika ditemui di Unit Forensik HKL. Menurutnya, dia sedih dan terkejut, namun menganggap apa yang berlaku sebagai suratan takdir.


“Rakan anak saya mendakwa Nurul Huda sebelum ini berubah sikap dan banyak mendiamkan diri sejak beberapa hari lalu. “Malah, dia tidak pernah menaiki bas untuk pergi atau pulang ke rumah dari sekolah sebelum ini,” katanya yang bekerja sebagai pemandu bas RapidKL.


Sementara itu, mayat mangsa yang juga anak ketiga dari empat beradik terbabit masih ditempatkan di Bilik Mayat HKL untuk menjalani bedah siasat sebelum dijangka dituntut ahli keluarganya hari ini.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Begbawamaut/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...