Friday, April 23, 2010

Kes taklik senator 13 Mei

2010/04/23

SHAH ALAM: Mahkamah Syariah di sini, semalam, menetapkan 13 Mei ini, untuk sebutan semula kes permohonan cerai secara taklik yang difailkan Senator Datin Paduka Norhayati Onn terhadap suaminya.

Hakim Syarie Drs Atras Mohamad Zin menetapkan tarikh itu bagi membolehkan suami Norhayati, Mohd Suffian Abdul Aziz (defendan) memfailkan pembelaan berhubung permohonan berkenaan.


Selain itu, Atras menetapkan tarikh sama bagi sebutan semula bagi permohonan nusyuz (derhaka) yang difailkan Mohd Suffian, 52, terhadap isterinya pada 18 Februari 2008.


Terdahulu, peguam syarie Rubiah Jaffar yang mewakili Norhayati, 47, (plaintif) memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihaknya memfailkan permohonan cerai secara taklik pada 19 April lalu sebelum diserahkan kepada defendan pada keesokan harinya.


Menurutnya, pihaknya memohon mahkamah menetapkan tarikh sebutan bagi memberi peluang defendan menjawab pembelaan permohonan itu.


Sementara itu, peguam Muhammad Buruk yang mewakili Mohd Suffian memberitahu mahkamah, dia baru dilantik mengendalikan kes anak guamnya semalam.


Berdasarkan permohonan itu, Norhayati mendakwa suaminya melanggar taklik yang ditandatangani pada 23 Mac 2006 di hadapan dua ahli keluarganya. Perjanjian taklik menyatakan Norhayati akan jatuh talak satu jika Mohd Suffian melanggar empat syarat, termasuk gagal memberi nafkah secukupnya kepada plaintif dan anaknya. Taklik juga berlaku jikaMohd Suffian menyebarkan fitnah dalam apa-apa bentuk, dokumen, gambar dan kata-kata yang boleh mengaibkan serta memalukan atau menjatuhkan maruah Norhayati.


Selain itu, ia akan berlaku sekiranya Mohd Suffian melakukan tindakan yang mendatangkan kesakitan atau memudaratkan dan menjalin hubungan dengan perempuan bukan muhrim melampaui batas syarak.


Pasangan itu berkahwin pada 1983 dan dikurniakan tiga anak.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kestakliksenator13Mei/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...