Tuesday, April 27, 2010

Tuntut wang RM50,000

Oleh Saipul Adli Mohamad

2010/04/27

BUKIT BERUNTUNG: Pemilik tanah dan waris kepada bekas peneroka Felda Sungai Buaya di sini, diberi masa sebulan untuk urusan menuntut bayaran pendahuluan RM50,000 seorang seperti dijanjikan kerajaan sebelum ini.

Ahli Majlis Tertinggi Umno yang juga orang tengah bagi urusan pembelian tanah milik bekas peneroka itu, Datuk Abdul Azeez Rahim, berkata bermula tengah hari semalam, sebahagian daripada baki 263 waris bekas peneroka itu hadir di majlis penyerahan bayaran itu.


“Ini membuktikan Gagasan 1Malaysia ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ apabila selepas Barisan Nasional (BN) berjaya merampas Parlimen Hulu Selangor pada malam tadi (kelmarin), kita terus mengotakan janji untuk melunaskan bayaran kepada baki peneroka terbabit.


“Sebanyak RM13,150,000 sudah diserahkan kepada syarikat peguam dilantik untuk menguruskan pembayaran kepada peneroka terbabit secara faraid bagi masyarakat beragama Islam.


“Paling penting, waris kepada peneroka terbabit perlu mempunyai dokumen lengkap untuk memudahkan urusan pembayaran dan pejabat ini dibuka 30 hari bagi membolehkan penduduk menyelesaikannya,” katanya.


Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Bayaran Pendahuluan Kepada Baki 263 Bekas Peneroka Sungai Buaya, semalam. Hadir sama, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.


Jumaat lalu, kerajaan membuat tindakan drastik bagi menyelesaikan masalah selama 17 tahun menghantui peneroka terbabit apabila seramai 100 orang menerima bayaran pendahuluan membabitkan RM1,000 wang tunai dan RM49,000 berbentuk draf bank.


Seramai 90 orang menerimanya daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak manakala jentera BN mengunjungi rumah 10 lagi bekas peneroka yang sudah uzur untuk menyampaikan bayaran itu.


Abdul Azeez berjaya meyakinkan syarikat Idiqa Holding Sdn Bhd melabur RM18,150,000 untuk membeli tanah seluas 1,621 ekar (648 hektar) milik 363 peneroka itu, serentak dengan pengumuman persimpangan bertingkat di Sungai Buaya akan mula dibina, awal tahun depan.

Tidak hairanlah, penduduk Kampung Sungai Buaya dan Bandar Baru Sungai Buaya menghadiahkan 1,013 undi majoriti atau 37 peratus daripada undi majoriti dikumpul Kamalanathan.


“Ketika kempen, pembangkang menyatakan rakyat hanya ditipu dengan pembayaran ini termasuk dakwaan cek yang kita berikan adalah palsu, tetapi kita bukan memberikan cek sebaliknya bank draf.


“Hari ini, kita membuktikan kerajaan sentiasa membela rakyat dan menunaikan janji....bukan sekadar memberi janji saja. Sebelum ini, ada waris bimbang tidak dapat menerima wang ini sekiranya BN kalah, tetapi kita memberi jaminan pembayaran tetap akan dibuat kerana wang sudah diserahkan kepada peguam,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/TuntutwangRM50_000/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...