Friday, May 28, 2010

Anak merajuk tak pulang

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

2010/05/28

KUALA LUMPUR: Hanya kerana menegur anak gadisnya yang tidak memakai tudung ketika keluar ke rumah rakannya, seorang ibu kini hanya mampu meratap pilu apabila anaknya itu melarikan diri dari rumah.

Anak gadisnya, Ardini Syakirah Rizal, 16, dipercayai melarikan diri sejak Rabu lalu bersama dua lelaki tidak dikenali. Ibunya, Nora Ramli, 44, berkata, kehilangan anaknya itu berpunca daripada tegurannya yang tidak memakai tudung untuk ke rumah rakan Isnin lalu sebaik dimaklumkan kembar anaknya itu.


Dia yang bekerja sebagai guru terkejut dengan tindakan itu terus menghubungi dan menegur perbuatan anaknya yang dianggap salah.


“Anak saya itu mengaku tidak memakai tudung lalu saya menyuruhnya segera pulang ke rumah.


“Saya menegurnya dengan baik dan langsung tidak memukul atau naik tangan. Selepas dimarahi, anak saya terus masuk ke biliknya dan merajuk,”
katanya.


Difahamkan, anak gadisnya itu tidak mahu bercakap dengannya dan banyak mendiamkan diri sepanjang malam itu.


Bagaimanapun, keesokan harinya, Ardini kembali menegurnya dan tidak menunjukkan sebarang perubahan sikap yang negatif.


“Melihat keceriaan Ardini, saya lega kerana menyangka dia menerima teguran saya secara baik. Kami berborak dan makan malam bersama-sama seperti biasa.


“Kelmarin, kira-kira jam 2.30 petang, saya menerima SMS daripada Ardini yang memberitahu dia mahu ke rumah rakannya mengulangkaji pelajaran dan memaklumkan yang dia memakai tudung,”
katanya ketika ditemui, semalam. Nora yang ditemani suaminya, Rizal Azemi,52, berkata, sebaik menerima SMS itu, dia membalasnya sebagai merestui niat anaknya dan menasihatinya supaya sentiasa ingat Tuhan dan menjaga hati ibu.


Malangnya, sehingga jam 7.30 malam, anaknya itu tidak pulang ke rumah dan mula tidak sedap hati menyebabkan dia beberapa kali menghubungi Ardini, tetapi gagal.


“Kerisauan saya bertambah apabila dia mematikan talian telefon bimbitnya. Saya menghubungi rakan baiknya, Norina, bertanyakan Ardini, tetapi amat mengejutkan apabila mendapat tahu dia tidak ke rumah rakannya itu.

“Saya menghubungi rakan-rakannya yang lain dan jawapan sama diberi. Kerana bimbang keselamatannya, saya menghubungi suami yang berada di Kelantan atas urusan kerja memaklumkan yang Ardini tidak pulang ke rumah,” katanya.


Orang ramai yang mengetahui di mana Ardini berada boleh menghubungi talian 013-3330162 atau balai polis berhampiran.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Anakmerajuktakpulang/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...