Friday, May 28, 2010

Kereta guru mandi cat

Oleh Ibrahim Isa

2010/05/28

JOHOR BAHRU: Komen provokasi mengutuk dan mengecam guru di laman sosial facebook membabitkan belasan pelajar sebuah sekolah menengah berhampiran Taman Damai Jaya di sini, membawa tindakan biadab seorang pelajar menyimbah cat kereta guru terbabit pada waktu persekolahan, tengah hari kelmarin.

Komen di kalangan pelajar dipercayai bermula kira-kira dua minggu lalu selepas pengurusan sekolah mengenakan tindakan disiplin terhadap kira-kira 100 pelajar dengan pemantauan briged komuniti membabitkan enam anggota polis.


Sejak itu, pelajar sekolah terbabit termasuk yang tidak dikenakan tindakan disiplin memberikan pelbagai komen provokasi di Facebook termasuk menyerang peribadi guru disiplin sekolah berkenaan.


Guru berkenaan, Hariri Yusof, 43, berkata, ketika kejadian kira-kira jam 1.20 tengah hari itu, dia sibuk mengadakan perbincangan bersama guru lain berhubung sambutan Hari Guru yang akan diadakan di sebuah sekolah lain, semalam.


Katanya, apabila keluar dari bilik mesyuarat, dia didatangi dua anaknya yang juga pelajar di sekolah sama memaklumkan Proton Waja miliknya disimbah cat.


“Saya bergegas ke tempat meletak kereta di pekarangan sekolah dan terkejut apabila cermin hadapan kereta disimbah cat coklat.


“Apabila diteliti, saya percaya cat berkenaan dicampur bahan kimia lain serta habuk pensel, selain melihat bahagian bawah pengelap cermin dirosakkan.


“Melihat kejadian itu saya memberitahu pengurusan sekolah sebelum ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini bagi membuat laporan polis,”
katanya.


Menurutnya, dia membersihkan kereta di sebuah pusat cuci kenderaan bagi menghilangkan kesan cat itu.


Katanya, semalam ketika pengumuman, dia memaklumkan pelajar kejadian berkenaan dan berharap sesiapa yang tahu mengenainya tampil bagi membantu siasatan polis.


“Saya membuat laporan polis dan menyerahkan kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Sebelum ini, sebagai guru disiplin saya banyak memberikan amaran, namun kejadian ini dianggap serius dan berharap pihak berkuasa akan mengambil tindakan sewajarnya.


“Walaupun ia dianggap satu ugutan, saya tetap komited dengan tugas sebagai guru dan akan meneruskan tanggungjawab,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nusajaya, Superintendan Aziz Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan polis berkenaan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat kenderaan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Keretagurumandicat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...