Tuesday, May 4, 2010

Cemburu gigitan berahi

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Shanty Nur Shaffizan Shafee
anbia@hmetro.com.my
2010/05/04

KAJANG: Kesan gigitan cinta pada leher teman wanita dikaitkan dengan hubungan cinta sulit dipercayai punca seorang lelaki bertindak kejam mencekik leher teman wanita itu hingga mati, petang Sabtu lalu.

Sumber polis berkata, suspek yang berusia 30-an yang juga sudah berkahwin dikatakan berang selepas menemui beberapa kesan gigitan cinta pada leher teman wanitanya yang juga warga Indonesia sebaik suspek bermesra dengan wanita berkenaan.


Menurutnya, siasatan polis sebelum itu mendapati suspek melayan baik teman wanitanya apabila membawanya menaiki kereta untuk membeli telefon bimbit baru di bandar Kajang, kira-kira jam 12 tengah hari.


“Selepas membeli mangsa telefon bimbit baru, suspek membawa teman wanitanya itu untuk menjamu selera di sebuah restoran di Bandar Baru Bangi, di sini.


“Berdasarkan maklumat, mangsa pergi ke sebuah rumah bersama teman wanitanya itu sebelum mereka berdua-duaan dalam kediaman terbabit. Ketika itulah, suspek menemui bekas gigitan berahi pada leher teman wanitanya,”
katanya.


Menurutnya, penemuan tanda gigitan itu menyebabkan suspek mengesyaki mangsa bermain kayu tiga dan mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain hingga menyebabkan berlaku pergaduhan.


“Suspek dipercayai hilang sabar dipercayai memukul muka mangsa menyebabkan mangsa membalas dengan menggigit tangan kiri suspek sekuat hati. Tindakan itu menyebabkan suspek semakin marah sebelum memukul mangsa berulang kali.


“Difahamkan, suspek gagal mengawal perasaan sebelum mencekik mangsa hingga sesak nafas dan mati,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Kajang, Asisten Komisioner Sakaruddin Che Mood berkata mangsa dipercayai dibunuh kurang dari 24 jam dari tempoh mayatnya ditemui dan terdapat kesan lebam di leher mangsa.

“Siasatan mendapati kematiannya berpunca daripada kecederaan saraf pada lehernya. Setakat ini, polis tidak menolak kemungkinan kematian mangsa disebabkan faktor cemburu. “Identiti wanita Indonesia berusia 20-an itu belum dikenal pasti kerana tiada dokumen pengenalan dijumpai pada mayatnya. Polis berusaha mengenal pasti identitinya daripada teman lelakinya yang kini ditahan reman selama seminggu hingga 8 Mei ini,” katanya.


Menurutnya, suspek yang juga seorang pemandu lori kini ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin bagi membolehkan siasatan dilakukan ke atasnya mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.


Dalam kejadian Sabtu lalu, suspek ditahan ketika dalam perjalanan membuang mayat teman wanitanya itu, namun disedari polis berhampiran kawasan Nilai Spring di sini.


Cubaannya itu dikesan dua anggota polis dalam sebuah kereta peronda kira-kira jam 10 malam. Lelaki terbabit yang memandu kereta Kancil didapati membaringkan mayat mangsa di tempat duduk penumpang di sebelahnya.

Ketika dia berpusing-pusing dipercayai mencari tempat untuk membuang mayat itu, sebuah kereta peronda polis mengesyaki sesuatu mencurigakan mengekori kereta suspek.


Menyedari sedang diekori, lelaki berusia 30-an itu terus memecut keretanya dengan dikejar oleh anggota polis selama beberapa minit sebelum keretanya terbabas.


Ketika ditahan, polis mendapati seorang wanita lengkap berpakaian berbaring di tempat duduk sebelah. Ketika disoal, lelaki itu memberi alasan teman wanitanya pengsan selepas kenderaannya terbabas dalam usaha melarikan diri.


Pemeriksaan polis akhirnya mendedahkan tembelang lelaki itu apabila mendapati mangsa yang lengkap berpakaian sudah meninggal dunia dipercayai dibunuh sebelum mayatnya cuba dibuang.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Cemburugigitanberahi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...