Thursday, May 13, 2010

Masih sah suami isteri

Oleh Nor Azura Abdul Jalil
zura@hmetro.com.my
2010/05/12

PETALING JAYA: “Alhamdulillah semua sudah selesai. Mahkamah pun sudah sahkan kami masih lagi suami isteri. Doakan jodoh kami berpanjangan,” kata Mohd Fauzi Che Ros, 45, yang juga ahli perniagaan dan suami kepada pelakon serta peragawati terkenal, Aleeza Kassim, 39, ketika ditemui di pekarangan Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas mahkamah mengesahkan mereka masih pasangan suami isteri. Sementara Aleeza pula yang kelihatan ingin cepat beredar dari situ hanya tunduk dan enggan memberikan sebarang komen mengenai perasaannya selepas mendengar keputusan itu.

Hakim Syarie Fazil Che Hassan dalam keputusannya memutuskan pasangan itu masih suami isteri berikutan lafaz ‘kita bercerai esok’ yang didakwa dilakukan Mohd Fauzi terhadap Aleeza selepas dikatakan bertengkar di rumah mereka jam 9 malam, 24 Januari lalu adalah hasrat dan bukan bersifat lafaz cerai.


Mohd Fauzi yang ragu dengan status perkahwinan mereka mengambil keputusan merujuknya ke mahkamah dan ke Pejabat Pendaftar Perkahwinan dan Perceraian Daerah Petaling di Shah Alam, dua hari selepas kejadian itu. Dalam prosiding semalam, Hakim Syarie Ghazali Ahmad yang membacakan keputusan bagi pihak Mohd Fauzi berkata, mahkamah berpuas hati lafaz plaintif itu hanya hasrat dan tidak jatuh talak. Menurutnya, lafaz itu tidak mendatangkan kesan sehingga jatuh talak kerana ia terhenti ketika kejadian itu saja.


Katanya, pasangan itu juga tidak pernah membuat permohonan untuk bercerai di mahkamah. “Plaintif dan defendan masih suami isteri sah dan mahkamah memerintahkan sijil nikah asal plaintif dan defendan dikembalikan kepada mereka,” katanya. Model tinggi lampai yang hadir berbaju kurung putih dan berselendang hijau dan suaminya kelihatan lega selepas mahkamah memberikan keputusannya.


Pasangan itu bernikah pada 15 Julai 2006 di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan belum dikurniakan cahaya mata.


Mohd Fauzi bagaimanapun mempunyai dua anak menerusi perkahwinan pertamanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Masihsahsuamiisteri/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...