Thursday, May 13, 2010

Polis tahan 3 tentera

Oleh Jaafar Mulup
am@hmetro.com.my
2010/05/12

TAMPIN: Tindakan tiga anggota tentera berusia 20-an yang disyaki merogol seorang wanita secara bergilir-gilir di sebuah rumah di Taman Clonlee di sini mengundang padah apabila mereka ditahan polis di sebuah kem di Melaka, kelmarin.

Sumber berkata, mangsa berusia 22 tahun yang bekerja sebagai pembantu restoran itu baru mengenali seorang daripada suspek sebelum diajak keluar bersiar-siar menaiki kereta di sekitar negeri itu pada Ahad lalu.


“Dia (mangsa) pada mulanya enggan kerana mendapati lelaki itu turut membawa dua rakan, namun bersetuju selepas dipujuk pelbagai janji manis.


“Selepas bersiar-siar di sekitar Bandar Melaka, mangsa kemudian dibawa ke sebuah kolam air panas di Gadek, Alor Gajah menaiki sebuah kereta dengan alasan untuk menyegarkan badan,”
katanya di sini, semalam.


Sumber itu berkata, selepas itu mangsa dibawa ke sebuah rumah di Taman Clonlee di sini kira-kira jam 2.30 pagi dan dipaksa menanggalkan pakaian termasuk diugut untuk dicederakan.


“Mangsa yang bimbang keselamatan dirinya terpaksa mengikut kehendak suspek dan dirogol bergilir-gilir beberapa kali.


“Dia dapat melarikan diri ketika suspek tidur dan pergi membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin,”
katanya.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang ketika ditemui mengesahkan pihaknya sudah menahan suspek di kem berkenaan kira-kira jam 5 petang.


“Ketiga-tiga suspek ditahan reman selama tujuh hari mengikut Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Polistahan3tentera/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...