Monday, May 24, 2010

Minda: Melindungi hak pemberi maklumat

Oleh Mohamad Sofee Razak

2010/05/24

UNDANG-UNDANG Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 atau ‘whistleblower’ yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, baru-baru ini bertujuan melindungi pemberi maklumat yang mendedahkan kepada pihak berkuasa mengenai kelakuan tidak wajar dalam sektor awam dan swasta misalnya gejala rasuah, salah guna kuasa atau jawatan dan penyelewengan.

Undang-undang ini sangat ditunggu-tunggu kerana ia akan memberi manfaat yang sangat besar kepada masyarakat keseluruhannya dan juga negara.

Undang-undang ini amat wajar dilaksanakan di Malaysia kerana ia dapat mempengaruhi keinginan orang ramai untuk tampil ke depan menyalurkan maklumat jika berlaku sebarang kepincangan dalam sesuatu organisasi, agensi dan sebagainya yang mana orang ramai yang akan menjadi mangsanya jika gejala negatif ini dibiarkan begitu saja.


Oleh itu, kerjasama orang ramai memberi maklumat amat penting bagi memastikan tidak berlaku penyelewengan dan kebocoran kepada hasil negara akibat kes salahguna kuasa, rasuah, perlakuan tidak bermoral, berbahaya, membazir dan sebagainya.

Undang-undang ‘whistleblower’ di beberapa negara asing terutama negara maju misalnya memberikan perlindungan dan kekebalan eksklusif kepada individu yang menyalurkan maklumat mengenai rasuah, penyalahgunaan kuasa dan lain-lain sebagai contoh dalam sektor awam, syarikat swasta, organisasi politik dan pertubuhan sukarela.


Tindakan itu bertujuan memberikan kuasa kepada individu dan masyarakat membanteras gelaja penyelewengan dan jenayah salahguna kuasa yang bermaharajalela di semua peringkat.


Untuk itu undang-undang berkenaan digubal bagi memberikan perlindungan khas kepada ‘whistleblower’ atau orang yang memberikan maklumat mengenai sebarang kesalahan yang menyalahi undang-undang negara agar dapat disiasat serta dikenakan tindakan sewajarnya.

Pendedahan perilaku yang tidak wajar juga boleh dilakukan terhadap mana-mana Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), tokoh korporat, orang kenamaan dan sebagainya jika melakukan kesalahan. Ini kerana undang-undang tidak mengenal bulu atau ‘double standard.’

Secara dasarnya, setelah dibuat laporan dan siasatan menyeluruh dilakukan, di mana jika tuduhan itu benar terjadi maka tindakan yang sewajarnya boleh diambil terhadap sesiapa saja yang melakukan kesalahan berkenaan. Namun, perlu diingatkan bahawa hukuman yang berat juga disediakan kepada mereka yang sengaja memberikan maklumat palsu jika mereka berniat jahat serta tidak dapat membuktikan apa yang dilaporkan berkenaan penyelewengan yang dikatakan berlaku.

Oleh yang demikian, semua pihak perlu berhati-hati, ikhlas dan telus dalam pendedahan sesuatu perkara dan tidak hanya mendengar dari sebelah pihak saja atau khabar angin agar tidak menerima padahnya.


Undang-undang ini penting kerana di samping bertujuan melindungi keselamatan pemberi maklumat, ia menjadi satu mekanisme menggalakkan orang ramai tampil menyalurkan maklumat berkaitan kes penyelewengan, rasuah dan sebagainya.

Penggubalan undang-undang berkenaan juga adalah sebagai satu daripada langkah proaktif membanteras gejala rasuah dan penyelewengan yang masih berlaku di mana pada masa sama memberi kekebalan kepada pemberi maklumat daripada diambil tindakan sivil atau jenayah akibat pendedahan mereka.


Selanjutnya, menerusi undang-undang itu sesiapa yang memberi maklumat mengenai kelakuan tidak wajar kepada pihak berkuasa tidak boleh mendedahkannya kepada pihak lain terutama di media. Pemberi maklumat akan dilindungi pada masa dia membuat pendedahan itu kepada pihak berkuasa, tetapi akan hilang hak berkenaan apabila membuat pendedahan sama ada kepada media termasuk di blog serta medium digital lain.

Ia bertujuan melindungi pengadu dan juga pihak yang diadu sebelum siasatan dijalankan kerana kemungkinan maklumat itu tidak benar.

Seseorang boleh membuat pendedahan mengenai kelakuan tidak wajar kepada mana-mana agensi penguatkuasaan berdasarkan kepercayaannya yang munasabah bahawa ada pihak bersedia, sedang dan sudah melibatkan diri dalam kelakuan itu. Ia termasuk pendedahan berkaitan perbuatan yang berlaku sebelum undang-undang berhubung perlindungan pemberi maklumat itu dikuatkuasakan.

Oleh itu, amalan ‘whistleblowing’ ini diharapkan akan memberi keyakinan kepada masyarakat dalam menyediakan saluran khusus untuk menyalurkan segala bentuk penyelewengan dan salah guna kuasa di Malaysia.

Oleh yang demikian, dengan kewujudan akta ini maka mana-mana pihak tidak boleh mengambil tindakan yang memudaratkan terhadap seorang pemberi maklumat atau sesiapa yang mempunyai hubungan dengannya sebagai membalas pendedahan yang dibuat itu.

Adalah diharapkan juga agar dengan adanya peruntukan undang-undang ini apabila sesuatu pendedahan dibuat pemberi maklumat maka agensi penguatkuasaan bertanggungjawab yang menerima pendedahan itu perlu menjalankan siasatan dan menyediakan laporan serta mengemukakan cadangan bagi tindakan selanjutnya diambil bagi memastikan kesalahan berkenaan tidak berulang dan merugikan semua pihak.


Penulis ialah seorang peguam


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Minda_Melindungihakpemberimaklumat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...