Thursday, June 3, 2010

Tipu prabayar

Oleh Muhd Izawan Baharin
izawan@hmetro.com.my
2010/06/03

KUALA LUMPUR: Modus operandinya cukup mudah, mencari peniaga yang baru menceburkan diri dalam penjualan kad prabayar telefon bimbit, menawarkan harga murah bagi produk itu dan melarikan diri selepas wang dimasukkan ke akaun bank.

Akibat kegiatan itu, beberapa peniaga yang baru menceburi perniagaan itu mengalami kerugian besar yang dianggarkan keseluruhannya mencecah RM300,000.


Individu yang menjadi orang tengah membawa kad prabayar itu pula boleh dianggap ‘berani mati ’kerana membawa sejumlah kad dipesan pelanggan, menunjukkannya sebagai bukti pembelian, tetapi sebaik peniaga mahu mengambilnya, dia menggunakan pelbagai alasan untuk menyerahkan produk itu sebelum meninggalkan mangsa terpinga-pinga.


Mendedahkan kegiatan itu, Presiden Kebangsaan Pertubuhan Sukarelawan Seni, Kebudayaan, Sosial dan Pendidikan India Malaysia (PSKSP), Dr N Thanasegeran berkata, setakat ini beliau menerima lima aduan daripada peniaga berbeza yang menjadi mangsa.


“Mangsa yang datang membuat aduan kepada saya tidak mempunyai pengalaman dalam bidang perniagaan ini menyebabkan mereka tidak teragak-agak mengeluarkan wang yang banyak untuk mendapatkan kad prabayar selepas ditawarkan pada harga murah,” katanya yang ditemui semalam.


Beliau berkata, mangsa yang berminat diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun sebuah syarikat dan wakil mereka akan datang membawa kad prabayar yang dipesan sejurus kemudian.


“Wakil syarikat itu, seorang lelaki berusia 38 tahun akan datang membawa kad prabayar, tetapi sebelum menyerahkannya kepada pembeli, dia segera beredar dengan pelbagai alasan.


“Pernah seorang mangsa berjaya menahan lelaki itu dan dia mendakwa melakukan perbuatan itu atas arahan syarikat tempat kerjanya, tetapi apabila mangsa ke pejabat mereka tidak dibenarkan masuk serta dihalang pengawal keselamatan,”
katanya.


Thanasegeran berkata, semua mangsa sudah membuat laporan polis dan beliau berharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera menyiasat kes berkenaan.


“Kami bimbang jika kegiatan ini tidak dibendung, lebih ramai peniaga menjadi mangsa,” katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Tipuprabayar/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...