Thursday, July 1, 2010

Balu dapat ganti rugi RM1.4 juta

KUALA LUMPUR - Seorang balu berjaya mendapat ganti rugi RM1.4 juta setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam mendapati berlaku kecuaian pihak polis apabila suaminya yang disyaki penagih dadah mati ketika dalam tahanan lokap Balai Polis Rawang 11 tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Lee Swee Seng memutuskan perkara itu ketika membenarkan rayuan Suzana Md. Aris berhubung taksiran ganti rugi yang diberikan terlebih dahulu kepadanya sebanyak RM137,220.

Suzana selaku plaintif memfailkan saman pada tahun 2000 terhadap Deputi Supritendan Ishak Hussin, yang merupakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Gombak dan Asisten Komisioner Massari Hashim selaku Ketua Polis Daerah.

Selain mereka sebagai defendan pertama dan kedua, suri rumah itu turut menamakan Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai dan kerajaan Malaysia sebagai defendan ketiga dan keempat.

Plaintif menuntut ganti rugi RM1.7 juta setelah mendakwa polis cuai dalam menjalankan tugas sehingga suaminya Mohd. Anuar Sharip, 31, meninggal dunia di dalam lokap pada 19 Ogos 1999 kerana menghidap radang paru-paru.

Suzana yang mempunyai dua anak berusia 19 dan 13 tahun bagaimanapun tidak hadir dan diwakili peguam P. Uthayakumar.

Swee Seng dalam keputusannya hanya semalam memerintahkan supaya bekas Ketua Polis Negara itu (kapasiti peribadi) dan kerajaan bertanggungjawab membayar ganti rugi tersebut.

Mahkamah menetapkan ganti rugi tanggungan bagi dua anak plaintif berjumlah RM400,000, ganti rugi am dan teruk berjumlah RM1 juta dan kadar faedah lapan peratus dari tarikh kematian sehingga selesai saman.

Kesemua defendan diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Wan Roslan Wan Ismail.

Sementara itu Suzana bersyukur dengan keputusan mahkamah dalam menuntut keadilan atas kematian suaminya 11 tahun lalu.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0701&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...