Thursday, July 1, 2010

1,000 buruh asing lapor polis

2010/07/01

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pekerja kontrak warga asing terutama dari Indonesia yang terbabit dalam projek pembinaan Istana Negara di sini membuat laporan polis di Balai Polis Brickfields, di sini semalam selepas tidak berpuas hati kerana tidak mendapat gaji sejak Januari lalu.

Dalam laporan itu, mereka turut mendakwa menerima ugutan daripada anggota polis yang menjalankan serbuan di tempat mereka bekerja.


Wakil kumpulan pekerja terbabit, Fadiah Nadwa Fikri berkata, kegagalan kontraktor membayar gaji semua pekerja berkenaan secara tidak langsung menafikan hak dan kebajikan mereka sebagai pekerja.


Katanya, kebanyakan mereka mempunyai keluarga, dan memerlukan wang untuk membeli keperluan harian termasuk susu untuk bayi mereka.


“Mereka juga terpaksa mengikat perut dan hanya makan sekali atau dua kali sehari walhal mereka memerlukan tenaga yang banyak untuk melakukan kerja berat,” katanya kepada media selepas membuat laporan itu.


Beliau berkata, pekerja terbabit juga mendakwa mereka menjadi mangsa peras ugut polis yang sering menjalankan serbuan di tempat mereka bekerja.


“Setiap kali serbuan, seramai 100 orang akan ditangkap dan mereka diminta membayar RM1,500 setiap seorang sebagai jaminan supaya mereka dibebaskan. Mereka juga mendakwa diugut akan diberkas jika tidak membayar jumlah wang yang diminta pegawai polis itu,” katanya.


Selain Fadiah, semua pekerja itu turut diwakili empat peguam lain iaitu, N Surendran, Latheefa Koya, Syuhaini Safwan dan Murnie Hidayah.


Fadiah Nadwa meminta polis menjalankan siasatan segera terhadap laporan itu bagi menentukan kebajikan pekerja itu terbela.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Brickfields Superintendan Azri Abd Rahman berkata, pihaknya berharap dakwaan mengatakan anggota polis rasuah ketika melakukan operasi di tapak pembinaan itu disertakan dengan bukti dan saksi.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/1_000buruhasinglaporpolis/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...