Saturday, July 3, 2010

'Ini salah berat'

Oleh Mohd Fauzi Abdullah

2010/07/02

KUANTAN: “Memandangkan kesalahan ini berat dan hukuman diperuntukkan juga berat, saya memberi peluang kepada kamu berfikir mengenai pengakuan bersalah yang kamu buat,” kata Hakim Datuk Abdul Rahman Yunus kepada dua pesalah minum arak di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika menangguhkan hukuman terhadap dua lelaki yang mengekalkan pengakuan bersalah atas kesalahan minum arak pada Februari lalu sebelum menetapkan 5 Ogos ini sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.


Dalam prosiding semalam, Abdul Rahman berkata, dia membuat keputusan itu bagi memberi peluang kepada tertuduh Mohd Saifulnizal Zulkifli, 29, dari Sungai Isap, di sini, dan Mohamed Rezzal Mohamed Yussof, 24, dari Pasir Putih, Kelantan, membuat rayuan dan menukar pengakuan bersalah dibuat mereka pada kali pertama kes berkenaan didengar pada 24 Mei lalu seterusnya melantik peguam.


Mengikut fakta kes, Mohd Saifulnizal yang bekerja sebagai buruh didapati melakukan perbuatan berkenaan di Kelab Malam Horoscope di Sri Dagangan, Jalan Tun Ismail, di sini, kira-kira jam 1.05 pagi pada 7 Februari lalu.


Tertuduh ditahan dalam Ops Taubat dilakukan Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) kerana disyaki meminum minuman keras.


Mohamed Rezzal pula yang juga seorang penganggur turut mengaku bersalah terhadap pertuduhan sama yang dilakukan kira-kira jam 5.30 petang di tempat letak kereta sebuah pusat membeli-belah, di sini, pada 13 Februari lalu.


Bagi kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 136 Enakmen Pentadbiran Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 (Pindaan 1987).


Jika disabitkan kesalahan mereka boleh dikenakan denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara dan enam kali sebatan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.


Ketika kali pertama mereka dihadapkan ke mahkamah pada Mei lalu, kedua-duanya merayu hukuman diringankan disebabkan faktor kewangan kerana masing-masing tiada pendapatan tetap sebelum Abdul Rahman menetapkan semalam sebagai tarikh menjatuhkan hukuman.


Akhbar ini pada 25 Mei lalu melaporkan Mohd Saifulnizal memaklumkan kepada mahkamah bahawa gerak hatinya sendiri menyebabkan dia mengaku melakukan kesalahan berkenaan walaupun ditanya berulang kali selepas kertas pertuduhan dibacakan kepada tertuduh.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Inisalahberat/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...