Saturday, July 3, 2010

Pejuang merdeka disemadi

2010/07/02

KUALA LUMPUR: Jenazah Allahyarham Tun Omar Ong Yoke Lin dikebumikan pada kira-kira jam 6.15 petang semalam di Makam Pahlawan dengan penuh penghormatan negara.

Terdahulu, jenazah Allahyarham yang dibalut dengan Jalur Gemilang dibawa dari kediamannya di Persiaran Duta ke Masjid Negara dan ditempatkan di Dewan Syarahan Utama pada jam 3 petang bagi membolehkan orang ramai memberi penghormatan terakhir.


Jenazah Allahyarham diusung perlahan-lahan oleh anggota tentera daripada ketiga-tiga cabang Laut, Udara dan Darat ke Dewan Solat Utama sejurus selepas solat Asar untuk upacara solat jenazah yang diimamkan wakil imam besar Masjid Negara, Ehsan Mohd Yusni. Turut sama menunaikan solat jenazah bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi serta beberapa bekas menteri Kabinet. Selepas selesai, jenazah diusung perlahan-lahan ke Makam Pahlawan untuk upacara pengkebumian.


Turut menyaksikan upacara pengkebumian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Abdullah serta isteri Allahyarham Toh Puan Aishah serta anak bongsunya, Mohamad Taufik.


Omar, 92, meninggal dunia akibat sakit tua di rumahnya pada 8.15 semalam dan jenazah dikebumi di Makam Pahlawan.


Kembalinya Allahyarham ke rahmatullah, Malaysia kehilangan pejuang kemerdekaan dan anggota terakhir Kabinet pertama negara di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman.


Allahyarham seorang daripada pengasas MCA dan pada 1952 bersama-sama Datuk Yahya Razak dari Umno membentuk Perikatan MCA-Umno membawa gabungan parti pelbagai kaum dan pelopor Barisan Nasional (BN) yang memerintah negara sehingga kini.


“Ong Yoke Lin dan Datuk Yahaya yang memutuskan membentuk perikatan bagi bertanding pada pilihan raya ini,” kata almarhum Tunku Abdul Rahman dalam bukunya pada 1977 bertajuk “Looking Back”, bagi mengimbas pilihan raya perbandaran Kuala Lumpur pada 1952 ketika negara masih di bawah pemerintahan British.


Perikatan memenangi sembilan daripada 12 kerusi pada pilihan raya itu. -Bernama

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pejuangmerdekadisemadi/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...