Sunday, July 11, 2010

Kejam jika tidak cerai

2010/07/11

KUALA LUMPUR: “Memang kejam jika lelaki membiarkan isteri digantung tidak bertali sedangkan mereka lagi tidak sehaluan,” kata Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor, Datuk Noh Gadut (gambar), mengenai tindakan segelintir suami yang tidak mahu menceraikan isteri mereka walaupun kes perceraian itu dibawa ke mahkamah.

“Manusia yang diberi nafsu perlukan belaian. Dalam kes tuntutan cerai... jika terlalu lama, dikhuatiri boleh mengundang perkara tidak diingini, termasuk membabitkan maksiat dan zina.


“Perkara ini sebenarnya dilihat sebagai menzalimi wanita berkenaan, kerana turut menafikan hak wanita untuk mendapatkan keadilan,” katanya.


Beliau berkata, dalam konteks Islam, perceraian tidak digalakkan berikutan ia antara perkara dimurkai Allah, namun jika tidak dapat dielak, si suami perlu melepaskan isterinya bagi mengelak kezaliman.


“Perceraian kalau mengikut Islam sememangnya tidak digalakkan. Namun bagi kes membabitkan masalah rumah tangga yang tidak lagi boleh diselamatkan, cara terbaik adalah dengan melepaskan wanita itu.

“Buat apa menyimpan dan membiarkan mereka tergantung tidak bertali jika tidak mahu lagi menjadi isteri kita,” katanya.


Noh berkata, sebaik-baiknya setiap kes tuntutan perceraian yang dibuat seorang isteri perlu diselesaikan dalam tempoh kurang setahun, terutama bagi mengelak pandangan negatif terhadap badan agama terbabit.


Katanya, tempoh berkenaan bagi membolehkan pasangan berkenaan berfikir semula mengenai hubungan mereka selain sama-sama mencari penyelesaian terbaik.


“Justeru secara dasarnya, paling lama kes tuntutan cerai perlu diputuskan dalam tempoh enam bulan hingga satu tahun.


“Jika suami berdegil dan enggan menceraikan isterinya walaupun mereka tidak lagi serasi, mahkamah perlu membuat keputusan bagi mengelak sesetengah pihak menganggap mereka tidak mendapat keadilan,”
katanya.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Kejamjikatidakcerai/myMA/myArticle/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...