Sunday, July 11, 2010

Pelajar dibelasah samseng



Oleh INTAN MAS AYU SHAHIMI

2010/07/11

JOHOR BAHRU: Akibat menyuarakan hasrat menarik diri daripada kumpulan samseng, seorang remaja lelaki berdepan detik mencemaskan apabila diculik dan dikepung 30 lelaki di sebuah kawasan hutan sebelum dibelasah ketua geng, petang kelmarin.

CEDERA...Bing Li menunjukkan jahitan di kepalanya.
CEDERA...Bing Li menunjukkan jahitan di kepalanya.


Menceritakan kejadian itu, Bing Li berkata, dia nekad keluar daripada kumpulan itu selepas setahun menjadi ahli atas nasihat bapanya yang bimbangkan masa depannya.

Katanya, dia tidak menjangka hasratnya yang disampaikan menerusi seorang ahli kepada ketua geng menerima maklum balas luar biasa apabila diculik kira-kira 30 lelaki yang menaiki lima kenderaan berasingan berhampiran kawasan sekolahnya.


“Saya berasa tidak sedap hati seolah-olah sesuatu perkara buruk akan berlaku tetapi saya cuba bertenang hingga kereta yang membawa saya berhenti di kawasan hutan sekitar Senibong.

“Sampai di kawasan itu saya dibawa bersemuka dengan seorang ketua kumpulan dan diberitahu satu-satunya jalan keluar daripada menjadi ahli adalah menerusi pertarungan.

“Saya tiada pilihan selain terpaksa bersetuju dengan syarat itu memandangkan saya dikepung kira-kira 30 lelaki,”
katanya ketika di temui di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini.

Menurut Bing Li, dia sedia bertarung dengan ketua geng itu namun tidak menyangka lelaki itu menggunakan senjata.

“Ia umpama mimpi ngeri dalam hidup kerana belum sempat saya menarik nafas, ketua kumpulan itu tiba-tiba mengambil sebatang joran dan menggunakannya sebagai senjata untuk memulakan serangan.

“Dia bertindak pantas dengan melibas joran bertalu-talu sambil menumbuk dan menyepak tubuh saya hingga saya tidak dapat mempertahankan diri,”
katanya.

Bing Li berkata, dia tidak dapat menggambarkan keadaannya yang berlumuran darah dan berasa insaf dengan kejadian yang menimpanya.

Anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, pertemuan itu berlangsung kira-kira 40 minit sebelum kumpulan terbabit beredar meninggalkannya.

“Saya terpaksa berjalan keluar dan menghubungi rakan menggunakan telefon bimbit untuk meminta bantuan, namun tiada sudi menghulurkan pertolongan kerana takut dibelasah geng terbabit,” katanya.

Nasib menyebelahi mangsa apabila dia dijumpai pengguna jalan raya, Tai Chin Song, 26, yang kebetulan lalu berdekatan kawasan kejadian dan terus membawanya mendapatkan rawatan serta membuat laporan polis.

Bapa mangsa, Lim Song Kiang, 51, berkata dia terkejut sebaik anaknya memberitahu dia menjadi ahli geng samseng tahun lalu.

“Ketika itu saya menasihatkan dia menjauhi kumpulan terbabit. Saya katakan padanya, sebagai pelajar dia perlu menyertai persatuan di sekolah dan bukan menjadi ahli geng samseng.

“Saya juga banyak kali menasihatkannya supaya tidak keluar malam,”
katanya.
Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan berhubung kejadian dijalankan.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Pelajardibelasahsamseng/myMA/myArticle

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...