Wednesday, August 18, 2010

Bayi ekspres atas meja

Oleh Zulfa Mohamad
zulfa@hmetro.com.my
2010/08/18

BUKIT MERTAJAM: Bagaikan bermusim. Kes pembuangan bayi semakin menjadi-jadi dengan kejadian terbaru membabitkan seorang bayi perempuan ditemui berbalut kain lampin atas meja di depan sebuah rumah dekat Bukit Minyak, di sini, Ahad lalu.

Bayi berkenaan ditemui seorang pekerja kilang berusia 30-an sebaik pulang dari masjid selepas menunaikan solat Tarawih kira-kira jam 11 malam.


Secara kebetulan lelaki terbabit tidak mempunyai anak selepas berkahwin sejak 10 tahun lalu dan mengambil keputusan menjaga bayi berkenaan untuk dijadikan anak angkat.


Bagaimanapun, rakannya menasihatkan agar dia menyerahkan bayi itu kepada polis untuk siasatan lanjut.


Berikutan itu, lelaki terbabit tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Tengah (IPDSPT), Bandar Perda di sini, untuk membuat laporan semalam. Ketua Polis SPT, Asisten Komisioner Azman Abd Lah, berkata bayi perempuan berkenaan seberat 1.4 kilogram dengan ketinggian 43 sentimeter dan berkulit sawa matang.


Beliau berkata, bayi itu dalam keadaan sihat tetapi keturunannya belum dipastikan dan dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan lanjut.


“Bayi ini ditemui dua hari lalu dan pengadu berhasrat menjadikannya sebagai anak angkat. “Namun atas nasihat rakan, pengadu tampil ke IPD pagi tadi (semalam) untuk membuat laporan kerana perlu mengikut prosedur jika mahu mengambil anak angkat,” katanya.


Azman berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut termasuk mengesan suspek yang membuang bayi berkenaan. “Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan ibu bapa atau individu yang membuang bayi boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-dua sekali,” katanya. Sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai bayi berkenaan diminta menghubungi Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPDSPT, Asisten Superintendan S Subramaniam di talian 019-6351119.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bayiekspresatasmeja/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...