Wednesday, August 4, 2010

Lubuk Yu bebas

Oleh Ainal Marhaton Abd Ghani
am@hmetro.com.my
2010/08/04

KUANTAN: Pusat Rekreasi Lubuk Yu, Maran, kini bebas daripada ancaman bakteria Melioidosis dan Leptospirosis selepas tiada lagi kes baru dikesan sehingga Rabu lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun (gambar) berkata, pusat rekreasi itu terus ditutup kepada orang ramai sehingga kajian wabak itu selesai dijalankan.


Beliau berkata, pengumuman itu dibuat berdasarkan tempoh inkubasi terpanjang berikutan kemungkinan untuk mendapatkan jangkitan adalah 28 hari selepas pendedahan kepada bakteria terbabit.


“Kita tidak menerima kes baru selepas 28 Julai lalu dan jumlah kes yang disyaki kekal 22 kes termasuk tujuh kematian dan dua masih dirawat di hospital.


“Kerajaan tidak tergesa-gesa membuka semula Lubuk Yu kerana masih banyak kajian perlu dilakukan bagi memastikan pusat rekreasi ini disahkan bebas daripada bakteria berbahaya itu,” katanya.


Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan majlis sambutan Hari Kesihatan Sedunia 2010 peringkat negeri Pahang di Wisma Belia, Indera Mahkota di sini, semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr Rosnah Ismail.


Beliau berkata, daripada 22 kes yang disyaki, enam kes disahkan Melioidosis, empat kes jangkitan kedua-dua bakteria dan 11 kes disahkan negatif manakala satu kes lagi tidak diambil sampel iaitu kes yang mati di rumah.


“Enam sampel air dari Loji Air Ulu Jempol dan Lubuk Yu yang diambil pada 14 Julai lalu juga negatif Leptospirosis dan penduduk tidak perlu bimbang mengenai ancaman bakteria di kedua-dua tempat itu,” katanya.


Dr Rosnah berkata, pusat rekreasi itu ditutup sementara bagi membolehkan Jawatankuasa Kecil Teknikal menjalankan kajian ke atas beberapa sampel tanah dan air yang diambil untuk dianalisa selepas kerja pembersihan kawasan dilakukan pada 22 Julai lalu.


“Hasilnya pula akan diserahkan kepada Jawatankuasa Kecil Bencana wabak berkenaan yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Muhammad Safian Ismail sebelum memutuskan sama ada pusat rekreasi terbabit boleh dibuka semula kepada pengunjung atau sebaliknya,” katanya.


Akhbar melaporkan tujuh penduduk yang terbabit dalam operasi mencari dan menyelamat seorang mangsa lemas di Lubuk Yu maut akibat jangkitan itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/LubukYubebas/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...