Saturday, September 25, 2010

Gadis hilang dirayu pulang

Oleh ROSLI HASSAN
rosli.hassan@kosmo.com.my



--------------------------------------------------------------------------------


JASIN - Sambutan Aidilfitri pada tahun ini menjadi pengalaman pahit kepada seorang ibu apabila anaknya, Nurul Dinah Jamal, 23, (gambar) menghilangkan diri pada hari raya kedua baru-baru ini.

Habsah Mohd. Diah, 54, kini diselubungi kebimbangan mengenai keselamatan anak ketiga daripada empat beradik itu sejak dia disedari tidak pulang ke rumah selepas dikatakan beraya di rumah rakan-rakannya pada 11 September lalu.

Menurut Habsah yang merupakan ibu tunggal, Nurul Dinah yang keluar kira-kira pukul 10 pagi pada hari tersebut ada memberitahu mahu berhari raya di rumah rakan-rakannya.

"Apabila dia tidak balik sehingga tengah malam, kami mula menghubungi telefon bimbitnya tetapi gagal kerana telefon ditutup," katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Pengkalan Samak, Merlimau di sini semalam.

Habsah berkata, apabila Nurul Dinah masih tidak pulang keesokan hari, dia dan anak-anaknya yang lain mencari gadis berkenaan di serata tempat termasuk di rumah saudara-mara dan kawan-kawannya serta perhentian bas Melaka Sentral malah sehingga Muar, Johor.

Katanya, mereka sekeluarga tidak pernah berselisih faham dengan Nurul Dinah sebelum anak gadisnya itu menghilangkan diri.

"Nurul juga tidak menunjukkan sebarang perubahan sebelum melarikan diri malah kelihatan amat gembira ketika menyambut hari raya pertama," katanya.

Menurutnya, sejak itu, dia kerap menangis terkenangkan keadaan Nurul Dinah selain bimbang akan keselamatan anak gadisnya itu.

"Mak cik rayu Nurul balik ke rumah dengan segera kerana mak cik amat rindukan dia," katanya.

Berikutan kehilangan itu juga Habsah telah membuat laporan polis pada 13 September lalu dan merayu kepada orang ramai sekiranya mempunyai maklumat tentang anaknya supaya menghubungi Ibu Pejabat Polis Melaka 06-2822222 atau mana-mana balai polis berdekatan.

http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0925&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_10.htm

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...