Tuesday, September 21, 2010

Wanita disyaki mangsa perkosa ditemui dibunuh

2010/09/21

HULU SELANGOR: Mayat seorang wanita ditemui dalam keadaan reput dan berulat di kawasan semak berhampiran Jalan Kasturi, Bukit Sentosa, di sini, Jumaat lalu.

Mayat terbabit ditemui seorang pengumpul besi buruk yang sedang mengutip barangan lusuh di kawasan timbunan sampah berhampiran lokasi mayat itu dibuang kira-kira jam 5 petang.

Ketua Polis Hulu Selangor, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi berkata, mayat mangsa yang sudah mula reput ditemui dalam keadaan tertiarap ditutupi dengan kepingan papan dan kotak di kawasan pembuangan sampah di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Bukit Tagar, Jalan Kasturi, di sini, Menurutnya, polis tidak menolak kemungkinan mangsa dirogol sebelum dibunuh kerana mendapati seluar jean berwarna biru yang dipakai mangsa dalam keadaan terlucut hingga ke bahagian bawah paha.


“Siasatan awal polis tidak menolak kemungkinan mangsa mati akibat dipukul dengan objek tumpul di bahagian kepalanya hingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah.


“Tiada kesan kecederaan ditemui pada badan mangsa namun, kepala dan muka mangsa didapati sudah berulat. Berdasarkan keadaan fizikal, mangsa dipercayai sudah mati dalam tempoh kira-kira tiga hari,”
katanya. Menurutnya, polis gagal mengenal pasti identiti mangsa berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.


“Ketika ditemui, wanita terbabit hanya memakai kemeja-T berbelang putih dan kuning. Mangsa dipercayai berusia lingkungan 20-an dan 30-an.


“Mangsa berambut panjang dan berkulit cerah namun polis belum dapat mengenal pasti identiti termasuk bangsanya kerana tidak menemui dokumen pengenalan diri bersama mayatnya,”
katanya.


Menurut Norel Azmi, polis yang menjalankan siasatan di tempat kejadian menemui dua kayu beluti yang mempunyai kesan darah dan rambut mangsa dipercayai digunakan sebagai senjata oleh suspek untuk membunuhnya.


Beliau berkata, mayat mangsa sudah dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.


“Kami masih menunggu hasil laporan bedah siasatan daripada hospital untuk mengenal pasti sama ada benar mangsa dirogol dan punca kematiannya. “Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian pembunuhan itu atau kehilangan ahli keluarga boleh menghubungi kita atau mana-mana balai polis berhampiran untuk membantu siasatan dan membuat pengecaman,” katanya.


Difahamkan, kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Polis juga turut meminta orang ramai yang melihat atau mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil membantu polis dalam menyelesaikan kes itu.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Wanitadisyakimangsaperkosaditemuidibunuh/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...