Saturday, October 16, 2010

Bajet 2011: Lahir generasi mantap

2010/10/16

KUALA LUMPUR: Beberapa persatuan membabitkan kepentingan pelajaran sependapat Bajet 2011 yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam benar-benar menepati hasrat melahirkan generasi mantap daripada segenap segi untuk mewarisi negara pada masa depan.

Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan, berkata Bajet terbabit disifatkan pelaburan yang pastinya menguntungkan negara apabila peruntukan RM6.4 bilion yang diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran diagih dengan saksama.


Menurutnya, kesediaan kerajaan memperuntukkan RM576 juta dalam bentuk biasiswa untuk guru melanjutkan pelajaran bakal memberikan implikasi terhadap prestasi dalam sistem persekolahan apabila guru-guru tahap profesionalisme tinggi akan lebih ramai dilahirkan.


“Tunjang pembangunan negara dalam ekonomi berprestasi tinggi ialah rakyat yang berilmu. Apabila kerajaan memberi perhatian terhadap kualiti perguruan, ia secara langsung akan memberi manfaat kepada anak-anak kita.


“Biasiswa ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada guru dalam memajukan dan mencintai profesion mereka. Selain itu kita gembira kerana Bajet kali ini tidak melupakan kepentingan pendidikan kerohanian apabila bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah diperuntukkan sebanyak RM95 juta.


“Ini menunjukkan persiapan ke arah negara berpendapatan tinggi turut selaras dengan negara yang memiliki moral tinggi,” katanya.


Beliau turut memuji usaha kerajaan mengangkat tinggi penguasaan bahasa Malaysia di kalangan rakyat tanpa meminggirkan kepentingan bahasa Inggeris.


Presiden Kebangsaan Guru Kebangsaan (NUTP) Leftenan Komander (B) Hashim Adnan pula melahirkan kesyukuran kerana pelaburan besar pendidikan dalam Bajet itu akan merangsang lagi suasana pengajaran dan pembelajaran.


Bagaimanapun, katanya, NUTP berharap kerajaan menilai semula hasrat mengambil 375 guru penutur jati daripada negara luar seperti United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan pengajaran bahasa Inggeris.

http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Bajet2011_Lahirgenerasimantap/Article

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...