ALOR SETAR, 11 Nov: Kerajaan  Negeri Kedah telah membelanjakan hampir RM2 juta bagi membantu mangsa banjir  yang terlibat dalam bencana yang menimpa negeri Kedah baru-baru  ini.
Demikian dinyatakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul  Razak pada sidang media di sini semalam.
Menurut beliau lagi sumbangan  bagi mangsa banjir tersebut telah disalurkan melalui Jabatan Kebajikan  Masyarakat (JKM) bagi penyediaan segala bentuk keperluan seperti makanan dan  seumpamanya.
"Selain dari bantuan tersebut, tenaga kerja dan logistik  turut disediakan bagi membantu banjir yang berpindah ke tempat perpindahan.  Namun begitu bagi mereka yang tidak berpindah kemungkinan bantuan dalam bentuk  lain akan dipertimbangkan.
"Sebelum ini adanya dakwaan mangsa banjir yang  tidak menerima bantuan datangnya dari mereka yang enggan berpindah ke pusat  pemindahan yang telah ditetapkan, " katanya lagi.
Azizan juga berkata,  sehingga semalam jumlah mangsa banjir yang telah pulang ke rumah adalah seramai  45,583 mangsa yang terdiri dari 11,840 keluarga.Manakala seramai 12,185  mangsa yang terdiri dari 3181 keluarga masih lagi ditempatkan di 23 buah pusat  pemindahan.
Katanya lagi antara pusat pemindahan yang telah ditutup ialah  dalam daerah Padang Terap, Pokok Sena dan Pendang.
(Gambar: Pegawai kanan Urusetia Penerangan Kerajaan  Negeri Kedah, Zulkifli Yahya melihat bungkusan yang disiapkan sebelum diserahkan  kepada mangsa banjir)
Sementara itu 11 pusat pemindahan di Kubang  Pasu dan 12 di Kota Setar masih lagi beroperasi sehingga keadaan dipastikan  selamat sebelum mangsa banjir dibenarkan pulang kerumah  masing-masing.
Beliau juga menyelar Kerajaan Pusat yang cuba  mempolitikkan isu bantuan kepada mangsa banjir apabila mendakwa kerajaan negeri  tidak mampu untuk menyalurkan sumbangkan kepada mangsa yang  terlibat.
"Sebenarnya kita tidak pernah memohon bantuan dari Kerajaan  Pusat bagi membantu mangsa banjir di negeri ini. Kita hanya meminta bantuan dari  Perak. Manakala Pulau Pinang dan Selangor pula menawarkan bantuan yang berupakan  minuman dan bekalan air bersih.
"Perak menyalurkan bantuan yang berupa  logistik, lori tangki serta 120 sukarelawan bagi membantu melicinkan perjalanan  membantu mangsa banjir. Kita juga berterima kasih kepada mereka kerana sanggup  untuk mengenepikan perbezaan fahaman ideologi demi kemanusiaan, " ujarnya  lagi.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29431:kedah-belanja-rm2-juta-bantu-mangsa-banjir&catid=41:utama-muka-depan&Itemid=124
 
 
No comments:
Post a Comment