KUALA LUMPUR, 11 Nov: Naib  Presiden PKR, Mustaffa Kamil Ayub menegaskan sokongan penuh beliau kepada Datuk  Seri Anwar dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail tidak pernah  berubah.
Sehubungan itu, beliau membantah dan menafikan laporan akhbar  Berita Harian semalam yang menyiarkan caption tertulis “Mustaffa Kamil (kiri)  dan Zaid menunjukkan memorandum mendesak Anwar dan Mohamed Azmin supaya berundur  pada sidang media di kediaman Zaid di Kuala Lumpur, semalam”.
"Saya  membantah sekeras-kerasnya laporan yang salah di dalam caption gambar tersebut  kerana memorandum yang ditunjukkan di dalam gambar tersebut bukan sama sekali  untuk mendesak Dato’ Seri Anwar dan Sdr Azmin berundur," kata Mustaffa Kamil  calon timbalan presiden PKR dalam kenyataan medianya hari  ini.
Menurutnya, memorandum itu adalah untuk meminta pembatalan dan  penjalanan semula Pemilihan Kepimpinan KEADILAN 2010 dan kandungannya diketahui  oleh Dato’ Seri Anwar dan Dato’ Seri Dr Wan Azizah.
"Sidang media  memaklumkan penyerahan memorandum mengenai JPP dihadiri oleh Datuk Zaid Ibrahim  dan setelah selesai, saya meninggalkan sidang, yang kemudian diteruskan oleh  Datuk Zaid Ibrahim tanpa kehadiran saya," katanya.
Bagi Mustaffa,  sokongan penuh beliau kepada Anwar tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana  pihak dan sedia diakui oleh kebanyakan ahli-ahli parti berdasarkan rekod beliau  yang sentiasa konsisten mempertahankan Dato’ Seri Anwar Ibrahim sepanjang 12  tahun beliau terlibat dalam perjuangan reformasi.
"Saya percaya bahawa  PKR, Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia seluruhnya amat memerlukan kepimpinan  Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tokoh pembaharuan yang mampu membawa perubahan  besar kepada negara," katanya.
Menurutnya, memorandum yang dihantar dua  hari yang lalu adalah berdasarkan rintihan suara akar umbi yang terbabit dengan  proses pemilihan parti 2010 dan memfokuskan kepada masalah dan kepincangan di  sekitar perjalanan Pemilihan Kepimpinan 2010 yang dikendalikan oleh Jawatankuasa  Pemilihan Pusat (JPP).
"Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Seri Dr Wan  Azizah telah menyambut baik dan akan mempertimbangkan kandungan memorandum  tersebut berdasarkan jaminan yang saya terima dalam pertemuan saya dengan  kedua-dua pemimpin tersebut pada hari yang sama," katanya.
Sehubungan  itu, beliau memberi amaran agar jangan ada pihak yang mengambil kesempatan untuk  menyelewengkan fakta dan  menabur fitnah dengan tujuan menjatuhkan kredibiliti  Anwar, beliau sendiri dan pemimpin-pemimpin parti yang lain.
"Saya dengan  ini menuntut supaya Berita Harian memohon maaf secara terbuka dan membuat  pembetulan atas laporan tersebut dalam tempoh 24 jam. Sekiranya pihak berkenaan  gagal berbuat demikian, saya terpaksa mempertimbangkan untuk mengambil tindakan  undang-undang bagi menegakkan kebenaran," katanya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=29438:sokongan-penuh-saya-kepada-anwar-mustaffa-kamil&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment