Friday, April 16, 2010

Tak serik-serik juga

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my
2010/04/16

KLANG: Walaupun pernah menjalani hukuman di pusat tahanan Simpang Renggam seorang lelaki masih tidak serik apabila ditahan kelmarin kerana dipercayai cuba untuk melakukan pecah rumah di sekitar daerah ini.

Suspek berusia 24 tahun, berasal di Klang Utama, di sini ditahan bersama seorang lagi lelaki berusia 23 tahun ketika cuba melarikan diri di Lorong Pauh Kijang 2, Taman Saga Off Jalan Meru, di sini kira-kira jam 9.30 pagi.


Ketua Polis Daerah Klang, Asisten Komisioner Mohamad Mat Yusop, berkata, sebelum kejadian, polis menerima aduan daripada orang awam mengenai sebuah kereta jenis Proton Wira putih menghalang jalan di kawasan taman berkenaan.


“Susulan aduan itu, kami menghantar sebuah kereta peronda (MPV) ke kawasan yang dimaksudkan sebelum menemui kereta terbabit.


“Bagaimanapun ketika anggota polis cuba menghampiri kenderaan terbabit, dua lelaki bergegas keluar dan cuba melarikan diri sebelum berlaku pergelutan. Kedua-dua suspek terbabit ditahan,” katanya.


Turut hadir, Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang, Deputi Superintendan Roslan Ibrahim.

Mohamad berkata, pemeriksaan badan ke atas suspek dan kenderaan, polis menemui peralatan dipercayai digunakan untuk samun dan pecah rumah, seperti parang panjang, alat untuk membuka kereta dan pecah rumah sejumlah kunci dan satu vest hitam berpelekat perkataan Rela dan logo serta komputer riba.


“Supek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau manakala suspek kedua, satu rekod lampau.


“Mereka turut mengaku melakukan sekurang-kurangnya 12 kes, iaitu dua kes di Balakong, tiga di Tampin dan selebihnya di sekitar daerah ini,” katanya menambah Proton Wira dinaiki kedua-dua suspek dilaporkan hilang 23 Mac lalu di Tampin, Negeri Sembilan.

Ujian air kencing mendapati kedua-dua suspek terbabit positif dadah. Kerugian daripada jenayah yang dilakukan suspek itu dianggarkan berjumlah lebih RM20,000.


Menurutnya, hasil soal siasat sepasukan polis menyerbu sebuah rumah di Batu 3, Jalan Kapar dan menahan lima lelaki berusia 27 hingga 39 tahun kerana disyaki menjadi pembeli barang curi.


“Dalam serbuan itu kami menemui sebuah komputer riba daripada salah seorang lelaki ini dipercayai dibeli daripada suspek,” katanya.


http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Takserik-serikjuga/Article/index_html

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...