KOTA BHARU, 5 Feb: Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik  Abdul Aziz Nik Mat mengingatkan pihak yang mahu menutup mulutnya (dari terus  memperkatakan Islam) supaya mengambil iktibar dari peristiwa ulama yang ditutup  mulut mereka oleh pemerintah Mesir.
Beliau yang juga Menteri Besar mahu  peristiwa yang berlaku ke atas Presiden Hosni Mubarak diambil ingatan oleh pihak  berkenaan.
“Hosni Mubarak lama dah tutup mulut ulama, dan sekarang rakyat pula menutup  mulut dia (dalam isu revolusi Mesir yang mahukan Hosni Mubaratk berundur),”  katanya pada Kuliah Mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi  tadi.
Terdahulu dari itu beliau mengimamkan solat hajat  untukkesejahteraan rakyat Malaysia di Mesir. (gambar)
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini mendakwa  ‘fatwa’ yang keluar dari mulut Nik Aziz sering kali bertentangan dengan pendapat  Dewan Ulama Pas dan parti itu, justeru beliau yang juga Menteri Pertahanan mahu  supaya dicari jalan bagi ‘menutup mulut’ Nik Aziz.
Baru-baru ini  Mursyidul Am PAS itu pada sidang media di Kampung Redong sempena kempen bagi   Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang mendakwa pengundi yang  tidak menyokong calon PAS sebagai orang jahiliah.
Mengulas dakwaan  Pengerusi Biro Agama dan Ulama Majlis Veteran Umno Kelantan Prof Madya Mohd Noor  Deris yang mendakwa Nik Aziz telah mengeluarkan banyak kenyataan bercanggah  dengan syarak, justeru mahukan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Majlis Raja-Raja  mengkaji kenyataan Mursyidul Am PAS itu, Nik Aziz berkata beliau amat bersetuju  kalau ada pihak mahu berdialog dengannya mengenai Islam.
“Saya setuju  benar orang berdialog dengan saya.  Ini kerana ajaran Islam menggesa diadakan  mujadalah sekiranya ada isu tertentu, dan ‘hendaklah kamu berdebat dengan mereka  dengan cara terbaik’.
“Berdebat dan berdialog adalah ajaran agama, bukan  hanya ajaran demokrasi.
“Saya bersetuju kalau orang berdialog dengan saya  (dan hendaklah) ‘pegang Al-Quran’.
“Untuk majlis dialog itu, orang  tengahnya ialah Al-Quran, tetapi kalau berdialog tidak ada panduan, mana boleh,”  katanya.
Beliau turut meminta pemimpin negara ini ambil iktibar dari  peristiwa revolusi Mesir yang hangat kini.
Beliau menyifatkan rakyat dan  pemimpin Negara adalah sama.
“Namun rakyat mudah mendengar nasihat,  tetapi yang payahnya pemimpin, ini kerana mereka merasakan mereka itu pemimpin  yang cerdik berbanding orang lain.
“Tahu-tahu,  dia kena guling, barulah  dia reti,” katanya sinis.
Beliau menegaskan umat Islam mukmin wajib  menolak ideology lain termasuk ideologi Melayu atau  nasionalis.
“Kerana  apa, kerana Al-Quran adalah lebih dari segala-galanya. 
“Di Malaysia  sendiri, Allah swt beri kepada orang Melayu agama (Islam), namun ada di kalangan  orang Melayu sendiri menolak Islam dan mengambil kebangsaan (sebagai dasar  perjuangan partinya).  Ini menyebabkan timbulnya kecelaruan,” dakwanya.
http://www.harakahdaily.net/v2/index.php?option=com_content&view=article&id=30703:belajar-kesan-ulama-mesir-yang-ditutup-mulutnya&catid=1:utama&Itemid=50
 
 
No comments:
Post a Comment