WASHINGTON: Di sebalik banyak faktor persamaan Arab Saudi dengan negara Timur Tengah lain, penganalisis yakin kerajaan monarki itu tidak berdepan dengan gerakan menggulingkan kerajaan.
Tanpa menafikan wujud rasa kurang senang orang ramai dan pengaruh golongan muda dalam masyarakat, mereka berpendapat, pendekatan diambil Riyadh selama ini boleh menyelamatkan kerajaan daripada menerima nasib sama seperti Tunisia, Mesir dan Libya.
Tambahan pula konflik di negara pengeluar minyak terbesar dunia itu hanya akan menyebabkan kesan meluas kepada ekonomi global.
Penganalisis Carnegie Endowment for International Peace, Christopher Boucek, berkata rasa marah dan tidak puas hati rakyat tertumpu kepada dasar kerajaan, bukannya keluarga bangsawan.
“Setakat ini tiada mana-mana pihak menyeru diadakan revolusi di Arab Saudi,” katanya.
Seperti Mesir dan Tunisia, Arab Saudi memang memiliki golongan muda yang ramai apabila data Agensi Perisikan Pusat (CIA) menunjukkan 38 peratus daripada penduduk negara itu berusia 14 tahun atau lebih muda.
Golongan muda juga semakin cenderung memilih laman sesawang sosial untuk menyatakan protes.
Melalui Facebook, mereka cuba mengadakan bantahan Hari Kemarahan hari ini.
Kekayaan petroleum pula tidak diagihkan secara adil menyebabkan kira-kira 40 peratus populasi boleh dianggap hidup dalam kemiskinan.
Tidak cukup dengan itu, mereka juga terhimpit dengan masalah kenaikan harga barang dan makanan.
Pandangan Boucek dikongsi penganalisis Pusat Kajian Strategik dan Antarabangsa, Anthony Cordesman.
Katanya, memang Arab Saudi dibelenggu banyak masalah, termasuk ketegangan di antara Syiah dan Sunni, salah urus jemaah haji dan skandal di kalangan keluarga diraja.
Pada masa sama, katanya, keluarga diraja berusaha menggembirakan rakyat seperti pengumuman Raja Abdullah memberikan lebih RM109 bilion bagi mengurangkan kemarahan orang ramai.
“Ia bukan dilakukan secara tiba-tiba, tetapi sejak berdekad lalu, keluarga diraja membelanjakan wang yang banyak untuk meningkatkan tahap sosial dan merangsang industri,” katanya. - AFP
http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/RajaSauditidaktergugat/Article/index_html
No comments:
Post a Comment