Friday, August 14, 2009

Raih Anugerah Pelajaran Diraja berkat solat Dhuha

BANGI: “Saya tidak mempunyai sebarang rahsia kejayaan melainkan mengamalkan solat Dhuha setiap hari untuk mendapatkan ketenangan dan keberkatan dalam pelajaran,” kata Nur Najwa Hanani Abdul Rahman, 24, yang bakal menerima Anugerah Pelajaran Diraja, pada majlis konvokesyen Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang bermula Sabtu ini.

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Pengajian Dakwah dan Kepimpinan Fakulti Pengajian Islam itu berkata, amalan solat sunat itu dilakukannya selain memberi sepenuh tumpuan dalam dewan kuliah.

“Menjadi penerima Anugerah Pelajaran Diraja memang sesuatu yang mengejutkan, namun saya amat bersyukur kerana usaha serta doa dimakbulkan sehingga berjaya mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan,” katanya yang ditemui dalam sidang media di UKM di sini, kelmarin.

Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin.

Nur Najwa Hanani berkata, dia amat berbangga kepada berpeluang melanjutkan pelajaran di UKM kerana mendapat pendedahan yang banyak terutama dalam bidang dakwah.

“Dalam bidang ini, penuntut didedahkan dengan aktiviti dakwah yang kebanyakan dilakukan di perkampungan Orang Asli selain mendekati remaja yang sering dikaitkan dengan gejala sosial.

“Memang banyak cabaran yang kami hadapi terutama untuk memperkenalkan keindahan Islam namun ia menjadi satu pendedahan serta pengalaman berguna kepada saya,”
katanya.

Penerima Anugerah Naib Canselor, Adilah Zaira Abu Bakar, 23, berkata dia bercadang menyambung pelajaran di peringkat sarjana.

“Saya mendapatkan kelulusan dalam Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan Kepujian (Cemerlang) dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Fakulti Kejuruteraan.

“Dalam bidang ini penuntut mendapat pendedahan lengkap mengenai elektrik dan elektronik yang amat berguna mencari kerjaya sesuai,”
katanya.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...